KUALA LUMPUR, 13 Feb (Bernama) — Dialog Group Bhd mencatatkan kerugian bersih sebanyak RM129.49 juta pada suku kedua yang berakhir 31 Dis, 2024, berbanding keuntungan bersih sebanyak RM148.288 juta dalam tempoh yang sama 2023.
Syarikat itu berkata kerugian tersebut disebabkan terutamanya oleh rosot nilai sekali sahaja dalam pelaburan projek petrokimia dan tenaga boleh baharu selain kos melebihi perbelanjaan dalam projek kejuruteraan, perolehan, pembinaan dan pengoperasian (EPCC).
Bagi tempoh enam bulan pertama, kumpulan mencatatkan keuntungan bersih sebanyak RM21.475 juta dengan perolehan sebanyak RM1.314 bilion.
“Cabaran muncul semasa peringkat pra-pengoperasian dan pengoperasian projek EPCC ini yang mengakibatkan kos lebih tinggi.
“Bagaimanapun, kumpulan komited untuk menyiapkan dan melaksanakan projek-projek tersebut. Lebihan kos dan kerugian projek ditangani selain diambil kira apabila projek ini hampir siap,” katanya dalam makluman kepada Bursa Malaysia di sini hari ini.
— BERNAMA