KUALA LUMPUR, 12 Feb (Bernama) — Steel Hawk Bhd melalui anak syarikatnya, Steel Hawk Engineering Sdn Bhd (SHESB), meraih kontrak bekalan tenaga kerja daripada PRPC Utilities and Facilities Sdn Bhd (PRPCUF).
Dalam satu kenyataan hari ini, Steel Hawk berkata anak syarikatnya akan menyediakan tenaga kerja untuk operasi pembungkusan di gudang produk pepejal PRPCUF.
“Kontrak ini adalah berdasarkan kepada keperluan tanpa nilai kontrak tetap dan akan sah untuk tiga tahun,” kata penyedia perkhidmatan serta peralatan minyak dan gas berkenaan.
PRPCUF ialah anak syarikat Petronas Refinery and Petrochemical Corp Sdn Bhd, ahli kumpulan syarikat Petroliam Nasional Bhd (Petronas).
Timbalan Pengerusi dan Pengarah Eksekutif Steel Hawk Datuk Sharman K. Michael berkata kontrak itu secara ketara mengukuhkan keupayaan pelaksanaan projeknya dan mengukuhkan komitmennya untuk menyampaikan perkhidmatan berkualiti tinggi kepada pemain-pemain industri utama, khususnya Petronas.
“Kontrak ini akan menyumbang dengan ketara dalam meningkatkan keterlihatan pendapatan kami dan menyediakan prospek pertumbuhan jangka panjang yang kukuh bagi kumpulan.
“Kami kekal optimistik mengenai prospek industri minyak dan gas, terutamanya memandangkan pelaburan berterusan Petronas seperti yang digariskan dalam Tinjauan Aktiviti terbaharunya untuk 2025-2027,” katanya.
Sharman berkata syarikat itu berada pada kedudukan yang baik untuk memanfaatkan pelbagai peluang dalam sektor berkenaan dan akan secara aktif meneruskan projek-projek baharu untuk memacu pertumbuhan mampan dan meningkatkan nilai pemegang saham.
— BERNAMA