KUALA LUMPUR, 10 Feb (Bernama) — Pengeluar produk keluli berpangkalan di Sabah, Colform Group Bhd menyasarkan untuk merebut peluang di ibu kota baharu Indonesia, Nusantara, susulan penyenaraiannya di Pasaran ACE di Bursa Malaysia.
Pengarah Urusannya Kang Ket Hung berkata walaupun masih di peringkat meninjau perkara itu, syarikat berkenaan sememangnya amat berminat untuk memasuki pasaran berkenaan.
Pada jam 9 pagi ini, syarikat berkenaan mula disenaraikan pada harga tawaran awam permulaan (IPO) sebanyak 36 sen dengan sejumlah 17.75 juta saham didagangkan.
Kang menyifatkan sambutan positif itu sebagai membuktikan kekuatan model perniagaan, rekod prestasi dan potensi syarikat dalam industri pembinaan.
“Bagi kemajuan masa depan, kami akan menumpukan penyampaian nilai kepada kalangan pemegang saham dengan melaksanakan strategi pertumbuhan selain mengekalkan komitmen terhadap kualiti serta inovasi.
“Ini turut menjadi landasan bagi menetapkan pertumbuhan masa depan apabila terus memperluas jangkauan kami dan meningkatkan penawaran dalam industri hiliran keluli dan bahan binaan selain turut menyumbang secara positif kepada sektor pembinaan Malaysia,” katanya pada sidang media secara maya bersempena penyenaraian syarikat itu di sini, hari ini.
Mengulas prospek industri pada 2025, Pengarah Eksekutif Kang Phui Yie berkata pihaknya yakin industri keluli hiliran di Malaysia bersedia bagi mencatat pertumbuhan yang mampan.
“Mengikut laporan Penyelidikan Pasaran Bebas (IMR), industri hiliran keluli di Sabah dan Sarawak diunjur berkembang secara kukuh, didorong oleh pemulihan sektor pembinaan dan inisiatif sokongan daripada kerajaan.
“Ditambah pula dengan sokongan kerajaan bagi memacu prasarana, pembangunan hartanah dan pemulihan ekonomi pasca pandemik, perkembangan ini memaparkan peluang bermakna bagi kalangan pemain seperti Colform,” katanya.
Kumpulan itu juga, katanya, merancang untuk meningkatkan lagi tawaran produk dan mengukuhkan kehadiran dalam pasaran dan landskap keluli yang sentiasa berubah,” katanya.
Menyentuh keputusan pentadbiran Presiden Amerika Syarikat Donald Trump pada Ahad untuk mengenakan tarif 25 peratus pada import besi dan keluli dari semua negara, beliau berkata pihaknya tidak terjejas kerana tidak melakukan sebarang eksport ke negara maju itu pada masa ini.
— BERNAMA