KUALA LUMPUR, 22 Jan (Bernama) — Tawaran awam permulaan (IPO) Northern Solar Holdings Bhd yang akan disenaraikan di Pasaran ACE untuk bahagian awam telah terlebih langgan sebanyak 73.20 kali.
Syarikat tenaga boleh baharu (TBB) solar itu dalam satu kenyataan hari ini berkata ia menerima 25,772 permohonan untuk 1.47 bilion saham bernilai RM924.59 juta berbanding 67.3 juta saham tersedia untuk langganan awam.
“Bahagian saham awam Bumiputera terlebih langgan sebanyak 62.50 kali selepas 11,865 permohonan untuk 628.04 juta saham baharu diterima.
“Bagi bahagian awam bukan Bumiputera, sebanyak 13,907 permohonan untuk 839.56 juta saham baharu diterima, mewakili kadar lebihan langganan sebanyak 83.89 kali,” kata Northern Solar.
IPO itu juga termasuk peruntukan borang merah jambu sebanyak 7.9 juta saham untuk pengarah, pekerja dan penyumbang yang layak kepada syarikat berkenaan yang dilanggan sepenuhnya.
Pengarah Urusan Northern Solar Lew Shoong Kai berkata menerusi dana IPO, syarikat berada pada kedudukan yang baik untuk melaksanakan rancangan pengembangannya dan memanfaatkan peluang pertumbuhan dalam sektor TBB solar.
“Ia juga akan menyokong pengembangan geografi syarikat di wilayah utara dan selatan Malaysia terutamanya di Pulau Pinang, Perak, Kedah, Perlis dan Sabah serta mengembangkan pejabat sedia ada di Johor,” katanya.
Syarikat itu akan menerbitkan 67.3 juta saham baharu pada harga RM0.63 setiap satu, menyasarkan untuk mengumpul RM42.4 juta manakala pemegang saham sedia ada juga akan menjual 35.6 juta saham melalui penempatan persendirian.
Northern Solar dijangka disenaraikan di Pasaran ACE Bursa Malaysia pada 6 Februari, 2025 dengan modal saham yang diperbesarkan sebanyak 395.6 juta saham dan anggaran permodalan pasaran sebanyak RM249.2 juta.
— BERNAMA