KUALA LUMPUR, 6 Jan (Bernama) — Anak syarikat milik penuh Keyfield International Bhd, Keyfield Offshore Sdn Bhd membeli kapal bekalan platform (PSV) berkuasa dynamic positioning 2 (DP2) berusia lima tahun daripada Sinocommerce Harbour Engineering Co Ltd berharga US$17.6 juta (RM79.22 juta).
Kapal itu akan dinamakan semula sebagai Keyfield Gratitude.
Keyfield dalam satu kenyataan berkata pembelian itu dibiayai melalui hasil sukuk Keyfield, dan syarikat itu merancang untuk memperuntukkan kira-kira US$2 juta (RM9 juta) daripada dana dalamannya untuk perbelanjaan modal tambahan bagi membawa kapal itu ke Malaysia dan menyediakannya untuk beroperasi.
Dalam makluman berasingan kepada Bursa Malaysia, ia berkata kapal itu berada di China dan dijadualkan untuk menjalani proses penyelenggaraan dok kering.
“Kami menjangkakan perbelanjaan modal tambahan kira-kira US$2 juta akan digunakan untuk proses dok kering, penghantaran dan kos pembaikan,” kata syarikat itu.
Ketua Pegawai Eksekutif dan Pengarah Eksekutif Datuk Darren Kee berkata syarikat itu percaya Gratitude akan menambah baik barisan kapal sedia ada kerana ia boleh digunakan bagi memenuhi kontrak bidaan kapal sewa PSV.
“Selain itu, ia sesuai dengan strategi pengembangan perniagaan kami untuk meluaskan tawaran perkhidmatan kepada pelanggan seperti yang digariskan dalam prospektus tawaran awam permulaan kami.
“Spesifikasi teknikal Gratitude juga sesuai untuk keperluan penyewaan tempatan dan serantau,” katanya.
Beliau yakin Gratitude akan menyumbang secara positif kepada pendapatan syarikat untuk tahun kewangan berakhir 31 Dis 2025 dan seterusnya.
— BERNAMA