KUALA LUMPUR, 6 Jan (Bernama) — Tawaran awam permulaan (IPO) CBH Engineering Holding Bhd (CBH Engineering) terlebih langganan sebanyak 34.21 kali menjelang penyenaraiannya di Pasaran ACE Bursa Malaysia Securities Bhd.
IPO CBH Enggineering melibatkan terbitan awam sebanyak 298 juta saham biasa baharu pada harga terbitan 28 sen sesaham yang mewakili 15.8 peratus daripada modal saham yang diperbesarkan, dengan tawaran ini dijangka mengumpul sebanyak RM83.4 juta.
Syarikat itu dalam satu kenyataan hari ini berkata IPO tersebut termasuk tawaran jualan sebanyak 188.1 juta saham sedia ada yang mewakili 10 peratus daripada modal saham yang diperbesarkan, melalui tawaran saham persendirian kepada pelabur Bumiputera terpilih yang diluluskan oleh Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri.
Ia berkata bahagian awam sebanyak 94.1 juta saham menerima 24,992 permohonan untuk 3.31 bilion saham bernilai RM927.2 juta, menyebabkan kadar lebihan langganan sebanyak 34.21 kali.
“Bagi bahagian Bumiputera, 12,175 permohonan untuk 1.28 bilion saham terbitan diterima, kadar terlebih langganan pula sebanyak 26.13 kali.
“Tawaran saham persendirian kepada pelabur terpilih menarik 12,817 permohonan untuk 2.04 bilion saham, terlebih langganan sebanyak 42.29 kali,” katanya.
Selain itu, syarikat itu berkata 28.4 juta saham yang diperuntukkan kepada pengarah, pekerja, dan penyumbang kejayaan kumpulan, dilanggan sepenuhnya.
Sementara itu, Pengarah Urusannya Cheah Boon Hwa mengaitkan tindak balas positif terhadap IPO berkenaan dengan keyakinan pasaran yang kukuh terhadap potensi dan keupayaan CBH Engineering.
“Pencapaian ini menandakan detik penting kerana kami akan menyalurkan hasil untuk meningkatkan kapasiti kewangan, memperluas kepakaran dan meningkatkan skala bagi mengendalikan projek yang lebih besar dan bernilai tinggi.
“Dengan sektor kejuruteraan mekanikal dan elektrik Malaysia yang bersedia untuk pertumbuhan kukuh, kami komited memberikan penyelesaian kejuruteraan luar biasa yang memenuhi permintaan untuk berkembang sambil memacu inovasi dan meningkatkan standard industri,” katanya.
CBH Engineering dijadualkan untuk disenaraikan di Pasaran ACE pada 16 Jan, 2025.
Selepas penyenaraian, modal pasarannya dijangka kira-kira RM526.7 juta, berdasarkan harga terbitan 28 sen sesaham dan modal saham yang diperbesarkan sebanyak 1.88 bilion saham.
— BERNAMA