KUALA LUMPUR, 20 Dis (Bernama) — Samaiden Sdn Bhd (SSB), anak syarikat penyedia penyelesaian tenaga boleh baharu (RE) Samaiden Group Bhd (Samaiden), telah disenarai pendek untuk membangunkan loji fotovoltaik solar (PV) berskala besar 99.99 megawatt (MW) di Pasir Mas, Kelantan.
Samaiden berkata SSB menerima Surat Pemberitahuan (LON) daripada Suruhanjaya Tenaga pada 23 Dis, 2024, bagi memaklumkan secara rasmi dipilih sebagai pembida yang disenarai pendek untuk projek di bawah program Solar Skala Besar 5 (LSS5) itu.
“SSB dipilih di bawah Pakej 3 (kategori 30MW hingga 500MW) berdasarkan bidaan kompetitifnya dan memenuhi kriteria Permintaan Cadangan, mengukuhkan reputasi Samaiden untuk menyediakan penyelesaian RE berskala besar,” kata kumpulan itu dalam satu kenyataan hari ini.
Samaiden berkata, projek itu akan dibangunkan di bawah Perjanjian Pembelian Tenaga Solar (PPA) selama 21 tahun dengan Tenaga Nasional Bhd, yang akan memastikan aliran hasil jangka panjang yang stabil bagi syarikat.
“Loji itu dijadualkan mencapai Tarikh Operasi Komersialnya selewat-lewatnya 11 Okt 2027, menandakan tarikh ia akan mula membekalkan elektrik kepada grid kuasa negara,” katanya.
Pengarah Urusan Kumpulan Samaiden, Datuk Chow Pui Hee, berkata pembangunan loji solar di Pasir Mas itu sejajar dengan pelan strategik syarikat untuk mengembangkan portfolio asetnya.
“Projek ini adalah bukti komitmen Samaiden untuk menyokong matlamat Malaysia mencapai 70 peratus campuran tenaga boleh baharu menjelang 2050, dan kami berharap dapat merealisasikan inisiatif ini sambil mengekalkan tumpuan utama kami terhadap penjagaan alam sekitar,” katanya.
— BERNAMA