KUALA LUMPUR, 16 Dis (Bernama) — TopVision Eye Specialist Bhd membuat penampilan sulung yang kukuh di Pasaran ACE Bursa Malaysia Securities Bhd pada harga 39 sen sesaham, mencatatkan premium 18.2 peratus berbanding harga terbitannya sebanyak 33 sen.
Kemunculan sulung yang berjaya bagi penyedia perkhidmatan penjagaan mata perubatan di Pasaran ACE itu menandakan pemindahan rasminya dari Pasaran LEAP, apabila ia disenaraikan pada tahun 2018.
Setakat 11.49 pagi, kaunter itu muncul antara saham yang paling aktif, meningkat sebanyak 2.0 sen atau 6.06 peratus kepada 35 sen dengan 48.85 juta saham bertukar tangan.
Sementara itu, Pengerusi Eksekutif Datuk Kenny Liew Hock Nean berkata pemindahan penyenaraian ini menandakan satu pencapaian penting dalam perjalanan Topvision yang mencerminkan komitmen tidak berbelah bahagi untuk menyediakan perkhidmatan penjagaan mata berkualiti serta mudah diakses di seluruh Malaysia.
“Ia melambangkan bukan sahaja kemuncak kerja keras kami tetapi juga keyakinan pasaran terhadap visi strategik dan potensi pertumbuhan kami.
“Dengan peralihan ini, kami berhasrat mengukuhkan kehadiran dalam sektor penjagaan kesihatan mata Malaysia, mengembangkan rangkaian perkhidmatan kami dan meningkatkan standard penjagaan pesakit ke tahap yang lebih tinggi,” katanya.
Beliau berkata demikian pada taklimat media secara maya mengenai pemindahan penyenaraian Topvision ke pasaran ACE hari ini.
Topvision terlibat terutamanya dalam perkhidmatan perubatan penjagaan mata dengan mengendalikan 11 pusat penjagaan ambulatori di seluruh Malaysia serta menawarkan perkhidmatan daripada penjagaan mata am kepada pembedahan vitreretinal lanjutan.
Syarikat itu menerbitkan sejumlah 54.22 juta saham baharu untuk mengumpul RM17.9 juta yang akan diperuntukkan secara strategik bagi menyokong pengembangan dan matlamat operasi syarikat.
Daripada hasil tersebut, RM7.9 juta akan digunakan untuk membiayai pembangunan Topvision International, sebuah pusat penjagaan mata ambulatori pakar pelbagai disiplin peringkat tertiari.
Dalam pada itu, RM5 juta tambahan akan diperuntukkan untuk penubuhan Topvision Kuala Terengganu dan Topvision Tawau sementara RM0.5 juta diperuntukkan untuk meningkatkan kemudahan sedia ada melalui pembelian mesin perubatan.
“RM4.5 juta yang selebihnya diperuntukkan untuk perbelanjaan penyenaraian,” katanya.
Pada 5 Dis, 2024, syarikat mengumumkan ia menerima 16,671 permohonan untuk 924.76 juta saham terbitan yang menghasilkan kadar terlebih langganan sebanyak 58.69 kali.
— BERNAMA