KUALA LUMPUR, 9 Dis (Bernama) — Vanzo Holdings Bhd yang bakal disenaraikan di Pasaran Ace mencatatkan kadar terlebih langgan sebanyak 66.71 kali bagi tawaran awam permulaan (IPO) untuk 23.34 juta saham yang diperuntukkan kepada orang awam Malaysia.
Syarikat itu yang memasarkan produk wangian kereta dan wangian dalaman berkata ia menerima sebanyak 16,713 permohonan untuk 1.58 bilion saham yang bernilai RM237 juta daripada orang awam Malaysia.
Ia berkata IPO syarikat melibatkan penerbitan 93.35 juta saham yang mana 23.37 juta saham diperuntukkan untuk para pengarah, pekerja dan individu yang layak yang telah menyumbang kepada kejayaan kumpulan.
Sementara itu, sebanyak 46.68 juta saham yang disediakan melalui penempatan persendirian kepada pelabur-pelabur terpilih dan tawaran penjualan 46.67 juta saham sedia ada melalui penempatan persendirian kepada pelabur yang terpilih telah dilanggan sepenuhnya.
“Notis untuk peruntukan saham IPO akan dihantar kepada semua pemohon yang berjaya pada 13 Dis, 2024,” katanya dalam satu kenyataan.
M & A Securities Sdn Bhd ialah penasihat utama, penaja, penaja jamin dan ejen penempatan untuk IPO ini. Eco Asia Capital Advisory Sdn Bhd pula ialah penasihat kewangan.
— BERNAMA