KUALA LUMPUR, 5 Dis (Bernama) — Tawaran awam permulaan (IPO) TopVision Eye Specialist Bhd sebanyak 15.49 juta saham untuk orang ramai telah terlebih langgan sebanyak 58.69 kali.
Menurut pusat pakar mata itu, pihaknya menerima sejumlah 16,671 permohonan daripada orang ramai untuk 924.76 juta saham baharu bernilai RM305.17 juta.
“Bagi bahagian Bumiputera, sebanyak 8,210 permohonan untuk 381.75 juta saham diterima, mewakili kadar terlebih langganan sebanyak 48.28 kali.
“Bagi bahagian awam, sebanyak 8,461 permohonan untuk 543.01 juta saham diterima, mewakili kadar lebihan langganan sebanyak 69.10 kali,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Sementara itu, sebanyak 4.80 juta saham yang disediakan untuk permohonan oleh pengarah, pekerja dan individu yang layak yang telah menyumbang kepada kejayaan kumpulan juga telah dilanggan sepenuhnya.
TopVision Eye Specialist menyasarkan untuk meraih RM17.89 juta dengan IPO pada 33 sen sesaham, sempena pemindahannya daripada Pasaran LEAP kepada Pasaran ACE Bursa Malaysia pada 16 Disember.
Hong Leong Investment Bank Bhd ialah penasihat utama, penaja, penaja jamin tunggal dan ejen penempatan tunggal untuk IPO tersebut.
— BERNAMA