KUALA LUMPUR, 22 Nov (Bernama) — Anak syarikat milik penuh tidak langsung Lagenda Properties Bhd, Opti Vega Sdn Bhd (OVSB), telah menandatangani perjanjian hak pembangunan (DRA) dengan Intact Corporate Approach Sdn Bhd (ICA) bagi membangunkan tanah seluas 56.25 hektar di Kota Tinggi, Johor untuk balasan tunai sehingga RM99.62 juta.
Tanah itu merupakan sebahagian daripada pembangunan induk keseluruhan di kawasan berkenaan yang merangkumi pembangunan bersebelahan Bahagian 1 dan Bahagian 2 berkeluasan 45.33 hektar yang sedang dimajukan oleh OVSB, yang sebahagiannya telah pun dilancarkan.
“ICA (pemilik benefisial tanah) akan memberikan OVSB hak eksklusif dan tidak boleh ditarik balik untuk membangunkan tanah serta menjual unit yang telah siap di atas tanah itu melalui DRA Bahagian 3 dan kuasa wakil penuh bagi melaksanakan pembangunan Bahagian 3,” kata Lagenda. dalam makluman kepada Bursa Malaysia hari ini.
Berdasarkan pelan pembangunan awal (KM), tanah itu dicadang untuk dimajukan menjadi pembangunan campuran unit-unit kediaman bertanah dan komersial dengan anggaran nilai pembangunan kasar (GDV) sebanyak RM889 juta.
Lagenda berkata walaupun terdapat kelulusan sedia ada KM untuk susun atur induk keseluruhan, kumpulan itu berhasrat mengemukakan semakan dan pindaan lanjut kepada pelan berkenaan kerana mahu meningkatkan lagi GDV pembangunan Bahagian 3.
— BERNAMA