KUALA LUMPUR, 20 Nov (Bernama) — Keuntungan bersih Perdana Petroleum Bhd melonjak 232 peratus kepada RM75.80 juta pada suku ketiga berakhir 30 Sept, 2024 daripada RM22.76 juta dalam tempoh yang sama tahun sebelumnya.
Hasil kumpulan bagi suku itu juga meningkat 23 peratus kepada RM127.25 juta daripada RM103.92 juta.
Dalam maklumannya kepada Bursa Malaysia, Perdana Petroleum mengaitkan hasil yang lebih tinggi bagi suku itu disebabkan penggunaan kapal yang meningkat kepada 78 peratus berbanding 76 peratus pada suku yang sama tahun lepas.
“Kekurangan kapal sokongan luar pesisir untuk aktiviti pengeluaran dan operasi terus memacu permintaan yang lebih tinggi dan kadar sewa harian yang bertambah baik untuk kedua-dua kapal milik sendiri dan kapal pihak ketiga,” katanya.
Perdana Petroleum juga menyatakan hasil yang disumbangkan oleh kapal pihak ketiga pada suku semasa adalah 27 peratus lebih tinggi daripada yang dicapai tahun lepas.
Pengarah Urusan Jamalludin Obeng dalam satu kenyataan berkata aktiviti luar pesisir pada suku ketiga kekal kukuh, menghasilkan penggunaan yang lebih tinggi disebabkan bekalan kapal sokongan luar pesisir (OSV) yang terhad.
“Kadar penyewaan harian yang lebih baik untuk OSV menyumbang kepada prestasi kewangan Perdana Petroleum yang kukuh,” katanya.
Melangkah ke hadapan, Perdana Petroleum menzahirkan keyakinan dalam keadaan yang lebih berhati-hati berikutan dinamik geopolitik seperti ketegangan di Timur Tengah, ketidaktentuan dalam kadar pertukaran dolar AS/ringgit dan potensi peningkatan inflasi serta kadar faedah.
“Kami akan memanfaatkan kekuatan dan kecekapan kami yang lebih baik untuk kekal mampan dan relevan dalam jangka masa panjang,” tambahnya.
— BERNAMA