KUALA LUMPUR, 14 Nov (Bernama) — Keuntungan bersih Prolintas Infra Business Trust (Prolintas Infra BT) meningkat kepada RM12.09 juta pada suku ketiga berakhir 30 Sept 2024, daripada RM4.35 juta pada tempoh yang sama tahun lepas.
Hasil bagi suku tersebut juga mengukuh kepada RM81.41 juta berbanding RM33.13 juta tahun ke tahun yang disumbangkan terutamanya daripada kutipan tol, yang mencakupi 97 peratus atau RM78.9 juta daripada jumlah hasil.
Bagi tempoh sembilan bulan berakhir 30 Sept 2024, kumpulan amanah itu mencatatkan keuntungan bersih sebanyak RM18.22 juta berbanding kerugian bersih RM62.79 juta tahun ke tahun, katanya dalam makluman kepada Bursa Malaysia hari ini.
Hasil bagi tempoh tersebut juga meningkat kepada RM237.27 juta berbanding RM100.11 juta, terutamanya didorong oleh jumlah trafik yang lebih tinggi di jalan bertol utama, terutamanya Lebuh Raya Bertingkat Ampang-Kuala Lumpur (AKLEH) dan Lebuh Raya Kemuning-Shah Alam (LKSA), yang masing-masing mencatatkan peningkatan 2.3 peratus dan 1.2 peratus.
“Peningkatan jumlah trafik ini memastikan prestasi hasil amanah stabil dan bertambah baik,” kata syarikat itu dalam satu kenyataan berasingan.
Susulan pengagihan interim pertama sebanyak RM34.9 juta bagi tahun kewangan berakhir 31 Dis 2024 pada September, Prolintas Infra BT berada di landasan yang betul untuk memenuhi sasaran RM70.0 juta jumlah pengagihan bagi Tahun Kewangan 2024, sekali gus mencerminkan komitmennya untuk menyediakan pulangan yang stabil dan mampan kepada pemegang unit.
Prolintas Infra BT ialah amanah perniagaan Islam Malaysia pertama tersenarai di Bursa Malaysia, yang terdiri daripada empat aset lebuh raya iaitu AKLEH, Koridor Guthrie Expressway, LKSA dan Sistem Lingkaran-Lebuhraya Kajang.
Amanah itu menawarkan pemegang unit pengagihan mampan yang disokong oleh kestabilan jangka panjang lebuh rayanya yang terletak di lokasi strategik di kawasan trafik dan kepadatan penduduk yang tinggi di Lembah Klang.
— BERNAMA