KUALA LUMPUR, 7 Nov (Bernama) — KKB Engineering Bhd (KKB Engineering) berjaya memperoleh dua kontrak dan satu pesanan pembelian dengan nilai keseluruhan RM93 juta.
Syarikat itu menerusi makluman kepada Bursa Malaysia berkata, ia menerima surat lantikan (LoA) daripada Petroleum Sarawak Bhd (PETROS) untuk memulihkan, memeriksa dan mengecat semula silinder gas petroleum cecair (LPG).
Menurut KKB Engineering, LoA kedua diterima daripada Bina Puri Builder Sdn Bhd bagi fasa kedua cadangan bekalan air wilayah Serian, manakala pesanan pembelian membekalkan paip pelapik simen keluli lembut (MSCL) diterima daripada Greenchain Capital Sdn Bhd.
“Terma kontrak PETROS itu sah sehingga suku ketiga 2027 manakala anggaran tempoh siap bagi sub-kontrak bekalan air Serian adalah dalam tempoh 24 bulan.
“Kontrak tempahan Greenchain Capital pula perlu disiapkan dalam tempoh 12 bulan,” katanya.
KKB Engineering berkata semua kontrak itu dijangka memberi sumbangan positif kepada aset bersih dan perolehan kumpulan.
— BERNAMA