KUALA LUMPUR, 4 Nov (Bernama) — Saham syarikat minuman Life Water Bhd yang berpangkalan di Sabah dan disediakan untuk orang ramai di bawah tawaran awam permulaan (IPO) telah terlebih langgan sebanyak 32.19 kali.
Life Water yang dijadualkan untuk penyenaraian di Pasaran Utama Bursa Malaysia Securities pada 13 Nov, 2024 berkata sebanyak 16,072 permohonan untuk 785.38 juta saham baharu bernilai RM510.5 juta diterima daripada orang awam Malaysia.
Jumlah saham yang diperuntukkan untuk mereka ialah 23.66 juta saham berharga 65 sen setiap satu.
IPO Life Water sebanyak 125.95 juta saham terdiri daripada terbitan awam sebanyak 97.56 juta saham baharu dan tawaran untuk penjualan 28.39 juta saham sedia ada melalui tawaran saham persendirian kepada pelabur terpilih.
Terbitan awam terdiri daripada 23.66 juta saham baharu yang diperuntukkan untuk permohonan oleh orang awam Malaysia, 14.20 juta saham baharu untuk permohonan oleh individu yang layak, 560,000 saham baharu untuk tawaran saham persendirian kepada pelabur terpilih dan 59.15 juta saham baharu untuk tawaran saham persendirian kepada pelabur Bumiputera yang dikenal pasti serta diluluskan oleh Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri.
Dalam satu kenyataan hari ini, Life Water berkata bagi bahagian Bumiputera, sejumlah 6,814 permohonan untuk 275.66 juta saham baharu telah diterima yang mewakili kadar terlebih langganan sebanyak 22.30 kali.
“Untuk bahagian awam, sejumlah 9,258 permohonan untuk 509.72 juta saham baharu telah diterima, yang mewakili kadar terlebih langganan sebanyak 42.09 kali,” katanya.
Sementara itu, Life Water berkata semua saham yang disediakan untuk permohonan oleh pengarah, pekerja dan individu yang layak juga telah dilanggan sepenuhnya.
Semua saham baharu yang diperuntukkan untuk tawaran saham persendirian kepada pelabur Bumiputera yang dikenal pasti serta saham baharu dan sedia ada yang diperuntukkan untuk tawaran saham persendirian kepada pelabur terpilih telah dikeluarkan sepenuhnya.
Life Water berkata notis peruntukan akan dihantar kepada semua pemohon yang berjaya pada 11 Nov, 2024.
Life Water menjangkakan untuk mengumpulkan RM63.42 juta melalui terbitan itu.
Menurut prospektusnya pada 22 Okt, 2024, berdasarkan modal saham syarikat yang diperbesarkan sebanyak 473.18 juta saham pada harga IPO, permodalan pasaran syarikat akan menjadi kira-kira RM307.57 juta.
Kira-kira 84 peratus daripada jumlah hasil akan diperuntukkan untuk pengembangan perniagaan.
MIDF Amanah Investment Bank Bhd ialah penasihat utama, penaja jamin dan ejen penempatan untuk IPO.
— BERNAMA
TAG: Life Water, IPO, Pasaran utama, Bursa Malaysia, terlebih langganan