KUALA LUMPUR, 4 Nov (Bernama) — IHH Healthcare Bhd (IHH) telah menyelesaikan pengambilalihan Island Hospital, kemudahan 600 katil di Pulau Pinang melalui pertimbangan ekuiti lebih kurang RM3.9 bilion.
Penyedia penjagaan kesihatan itu melalui satu kenyataan hari ini berkata pengambilalihan tersebut menandakan langkah penting dalam pengembangan strategik IHH di Malaysia, selain mengukuhkan komitmennya untuk meningkatkan kualiti dan perkhidmatan penjagaan kesihatan di seluruh negara serta menyediakan pesakit di wilayah utara akses yang lebih besar kepada penjagaan kesihatan bertaraf dunia.
“Langkah itu akan mengukuhkan peranan IHH dalam menyokong wawasan kerajaan Malaysia untuk menjadikan negara ini sebagai hab terkemuka dalam pelancongan perubatan, menarik pesakit antarabangsa yang mahu mendapatkan rawatan canggih dan penjagaan kesihatan yang luar biasa.
“Memandangkan Pulau Pinang terus mengukuhkan dirinya sebagai destinasi utama untuk pesakit antarabangsa yang mencari rawatan perubatan berkualiti tinggi dan berkos efektif, pemerolehan ini meletakkan IHH agar terus menyumbang kepada aspirasi pelancongan perubatan Malaysia yang semakin meningkat,” katanya.
Sebagai imbasan, anak syarikat milik tidak langsung IHH, Pantai Holdings Sdn Bhd telah memeterai perjanjian pada 4 Sept lepas bagi mengambil alih Island Hospital dengan pertimbangan ekuiti sebanyak RM3.92 bilion tunai.
Island Hospital dan anak syarikatnya mempunyai hutang bersih berjumlah RM276.3 juta setakat 30 Jun 2024.
Dengan penambahan Island Hospital, IHH kini mengendalikan 18 hospital di seluruh Malaysia merangkumi 11 Hospital Pantai, empat Hospital Gleneagles, Pusat Perubatan Prince Court dan Pusat Perubatan Timberland.
“Selain menyepadukan kepakaran klinikal Island Hospital ke dalam rangkaiannya, IHH akan meneroka peluang pembangunan dalam bank tanah hospital itu, sebagai jaminan pertumbuhan masa depannya di rantau ini serta memenuhi permintaan penjagaan kesihatan yang bertambah daripada pesakit tempatan dan antarabangsa,” kata IHH.
Ketua Pegawai Korporat Kumpulan IHH, Ashok Pandit berkata pengambilalihan tersebut akan meningkatkan kepimpinan IHH dalam penjagaan kesihatan dan pelancongan perubatan di Malaysia.
“Pemerolehan ini menggariskan komitmen kumpulan kami untuk meningkatkan penjagaan kesihatan serta hasil di seluruh rangkaian global kami, sambil mencipta nilai yang mampan bagi pihak berkepentingan melalui pelaburan yang strategik dan akretif.
“Bersama-sama dengan pasukan berbakat di Island Hospital, kami akan menggunakan kepakaran kami yang mendalam dan pengalaman untuk memberikan pengalaman pesakit serta kualiti klinikal yang lebih baik kepada pesakit,” katanya.
Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif IHH Malaysia, Jean-François Naa berkata penambahan Island Hospital menandakan satu peristiwa penting dalam komitmen kumpulan untuk meningkatkan kualiti dan kebolehcapaian penjagaan di Malaysia.
“Berdasarkan kepada kecemerlangan operasi rekod prestasi kami yang terbukti dan kejayaan mengintegrasikan aset yang diperoleh, kami akan mengukuhkan lagi keupayaan Island Hospital dengan memperkenalkan rawatan yang lebih maju dan menambah baik pengalaman pesakit.
“Tumpuan kami kekal pada menyediakan penjagaan yang luar biasa kepada pesakit tempatan dan antarabangsa, sambil menyumbang kepada peningkatan Malaysia sebagai hab pelancongan perubatan,” tambahnya.
— BERNAMA