KUALA LUMPUR, 5 Nov (Bernama) — Bursa Malaysia memulakan dagangan Selasa dengan lebih rendah, menjejaki prestasi semalaman Wall Street ketika pelabur kekal berhati-hati menjelang pilihan raya presiden Amerika Syarikat (AS), hari ini.
Pada 9.12 pagi, indeks petunjuk utama FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) susut 0.99 mata kepada 1,615.44 daripada 1,616.43 di akhir dagangan semalam.
Indeks berkenaan meraih 1.77 mata sewaktu pasaran dibuka iaitu pada paras 1,618.20.
Di pasaran meluas, kaunter untung mengatasi rugi iaitu 159 berbanding 157 manakala 280 kaunter tidak berubah, 1,783 tidak diniagakan dan lapan lain digantung dagangannya.
Jumlah dagangan sebanyak 155.58 juta saham bernilai RM115.14 juta.
Naib Presiden Penyelidikan Ekuiti Rakuten Trade Sdn Bhd Thong Pak Leng berkata Wall Street ditutup rendah dalam dagangan tidak menentu selain sentimen yang kekal gelisah menjelang pilihan raya presiden AS hari ini.
Pemilihan itu menyaksikan pertembungan Naib Presiden Kamala Harris bagi Parti Demokrat dan bekas Presiden Donald Trump mewakili Parti Republikan.
“Selain itu, peniaga turut memberi tumpuan kepada jangkaan penurunan kadar Rizab Persekutuan pada hari Khamis.
“Berikutan itu, hasil Perbendaharaan 10 tahun AS susut kepada 4.28 peratus selepas beberapa hari mencatat aliran menaik,” katanya kepada Bernama.
Di peringkat domestik, Thong berkata musim pelaporan korporat dijangka memulihkan sentimen pasaran, disokong oleh unjuran pertumbuhan pendapatan sebanyak 15.4 peratus bagi 2024.
Berikutan itu, beliau menjangkakan FBM KLCI akan menyaksikan dagangan dalam julat 1,610-1,620 hari ini.
Saham wajaran tinggi seperti CIMB Group dan Public Bank masing-masing naik 1.0 sen kepada RM8.05 dan 4.43 manakala Tenaga Nasional merosot 6.0 sen kepada RM14.02.
Bagi kaunter aktif, JAKS Resources meningkat 1.0 sen kepada 14 sen, Sorento Capital, Silver Ridge dan AHB Holdings masing-masing naik setengah sen kepada 40 sen, 51.5 sen dan 4.5 sen manakala Sarawak Cable tidak berubah pada 13 sen.
Di papan indeks pula, Indeks FBM Emas meningkat 10.73 mata kepada 12,216.53, Indeks FBMT 100 naik 11.61 mata kepada 11,928.80, Indeks FBM Emas Syariah meraih 15.21 mata kepada 12,210.49 dan Indeks FBM 70 melonjak 87.13 mata kepada 17,828.03.
Indeks FBM ACE pula susut 8.97 mata kepada 5,049.84.
Mengikut sektor, Indeks Perkhidmatan Kewangan meningkat 17.80 mata kepada 19,066.48, Indeks Tenaga menambah 1.18 mata kepada 843.58, Indeks Perladangan meraih 1.58 mata kepada 7,581.47 manakala Indeks Produk dan Perkhidmatan Perindustrian susut 0.26 mata kepada 174.64.
— BERNAMA