KUALA LUMPUR, 14 Okt (Bernama) — Anak syarikat milik penuh Critical Holdings Bhd, Critical M&E Engineering Sdn Bhd memperoleh kontrak RM62.5 juta daripada IJM Construction Sdn Bhd untuk membekal dan menyelenggara perkhidmatan mekanikal dan elektrik bagi sebuah kilang semikonduktor di Taman Teknologi Bandar Cassia, Batu Kawan, Pulau Pinang.
Dalam kenyataan kepada Bursa Malaysia, penyedia penyelesaian reka bentuk dan kejuruteraan itu menjelaskan kerja-kerja yang ditetapkan dalam kontrak itu dijangka bermula pada 1 Nov, 2024 dan siap pada 17 Ogos, 2025.
“Kontrak itu dijangka menyumbang secara positif kepada pendapatan dan aset bersih syarikat bagi tahun kewangan berakhir 30 Jun, 2025 dan 2026,” katanya.
Sementara itu, Pengarah Eksekutif dan Ketua Pegawai Eksekutif Critical Holdings Tan Si Lim berkata kontrak terkini yang diperoleh itu adalah selaras dengan strategi pertumbuhan pihaknya untuk mengambil projek lebih besar dengan nilai yang lebih tinggi.
— BERNAMA