KUALA LUMPUR, 14 Okt (Bernama) — Fajarbaru Builder Group Bhd (Fajarbaru) dan Penang Development Corporation (PDC) telah mengorak langkah untuk merealisasikan cadangan pembangunan Medi-City di 95.43 hektar di Batu Kawan, Pulau Pinang selepas menerima surat tawaran daripada PDC hari ini.
Fajarbaru dan agensi itu yang merupakan pemilik benefisial tanah itu menandatangani memorandum persefahaman pada Jun tahun lepas untuk meneroka peluang membangunkan tanah pegangan bebas di Bandar Cassia menjadi hab perubatan dan pembangunan bercampur.
“Terma dan syarat surat tawaran akan dimuktamadkan dalam perjanjian pembelian dan pembangunan induk yang akan ditandatangani antara Fajarbaru dan PDC,” kata kontraktor siap guna dan pemaju hartanah itu dalam makluman kepada Bursa Malaysia hari ini.
Fajarbaru dalam satu kenyataan medua berkata ia berhasrat untuk membina ekosistem lengkap penjagaan kesihatan dan kemudahan perubatan melalui pembangunan hab perubatan, menawarkan pelbagai penyelesaian penjagaan kesihatan seperti penjagaan pencegahan, pemulihan, diagnostik, rawatan dan perkhidmatan kesihatan.
“Selain itu, Fajarbaru akan membangunkan sebuah perkampungan kesejahteraan, hab pendidikan perubatan, taman teknologi kesihatan hibrid serta pusat komersial tepi pantai (waterfront) Fajarbaru Global Park dan kediaman pemandangan laut,” katanya.
Projek pembangunan itu akan dibahagikan kepada dua parcel dengan Fajarbaru bersedia untuk membeli Parcel 1 seluas 20.71 hektar pada harga RM111.45 juta pada 2025.
Dalam parcel pertama, ia telah menetapkan 6.19 hektar untuk pembangunan komponen berkaitan penjagaan kesihatan termasuk hospital yang mempunyai 200 katil dan pelbagai kemudahan penjagaan kesihatan dan perubatan.
Sementara itu, baki 14.49 hektar adalah untuk pembangunan bercampur, menampilkan komponen kediaman dan komersial.
Harga pembelian Parcel 2 akan dipersetujui oleh pihak terlibat.
“Memandangkan pertumbuhan besar dalam permintaan untuk perkhidmatan penjagaan kesihatan dan perubatan bukan sahaja untuk penduduk tempatan tetapi juga kepada pelancong perubatan, kami percaya terdapat potensi untuk negara dan negeri mendapat manfaat daripada Medi-City.
“Inisiatif ini akan memainkan peranan penting dalam mengukuhkan kedudukan Pulau Pinang sebagai destinasi penjagaan kesihatan global yang terulung, menyokong wawasan jangka panjang kerajaan negeri untuk wilayah itu,” katanya
— BERNAMA