KUALA LUMPUR, 14 Okt (Bernama) — EA Technique (M) Bhd (EATech) sedang berada di landasan untuk keluar dari status Nota Amalan 17 (PN17) menjelang suku pertama 2025, berikutan kejayaan pelaksanaan pelan penyelarasan syarikat pada 2024 serta peningkatan konsistennya dalam hasil dan keuntungan.
Pengarah Eksekutif Datuk Mubarak Hussain Akhtar Husin menjelaskan syarikat pengangkutan marin dan penyimpanan luar pesisir itu telah pun merekodkan pencapaian penting dalam mengukuhkan kedudukan kewangan serta kecekapan operasinya.
“Industri pengangkutan marin dan penyimpanan luar pesisir sedang mengalami trend menaik sehingga membolehkan EATech berada dalam kedudukan yang baik bagi memanfaatkan persekitaran ini.
“Komitmen kami adalah untuk membina sebuah syarikat yang mantap, lebih berdaya tahan yang terus memberikan nilai kepada pemegang saham,” katanya melalui satu kenyataan hari ini.
EATech diletakkan di bawah PN17 selepas menghadapi kemerosotan dalam ekuiti pemegang saham akibat rundingan yang berpanjangan dan kemerosotan susulan pandemik COVID-19.
Syarikat itu juga menanggung kos variasi yang berkaitan dengan usahanya dalam sektor kejuruteraan, perolehan, pembinaan, pemasangan dan pentauliahan, yang mana, ia telah menukar sebuah kapal tangki kepada kemudahan penyimpanan dan pemunggahan pengeluaran terapung. Sejak itu, ia telah berusaha bersungguh-sungguh untuk menyusun semula kedudukan kewangannya.
Dengan penyiapan pelan penyusunan semulanya pada pertengahan 2024, EATech kini tertumpu ke arah mencapai dua suku tahun yang menguntungkan berturut-turut, satu keperluan utama bagi peningkatan PN17.
Sehingga 30 Jun 2024, EATech melaporkan hasil berjumlah RM61.81 juta, dengan margin keuntungan kasar sebanyak 41 peratus melebihi purata industri.
Syarikat itu juga mencatatkan keuntungan teras sebanyak RM12.17 juta bagi separuh pertama 2024, mempamerkan keupayaannya untuk mengekalkan operasi yang menguntungkan.
EATech berkata prestasi kewangannya disokong oleh tempahan dalam tangan yang agak cemerlang, dengan kontrak bernilai RM136.3 juta dan kontrak pilihan tambahan sebanyak RM281.2 juta, memberikan syarikat itu keterlihatan pendapatan untuk tahun-tahun akan datang.
“Kadar penggunaan semasa kami kekal pada 97 peratus, dan dengan kontrak utama yang sedia ada, kami yakin dapat mencapai keuntungan yang berterusan. Ini akan membolehkan kami memenuhi keperluan untuk keluar dari PN17,” kata Mubarak.
Selain itu, beliau menegaskan EATech giat mengejar peluang baharu termasuk sedang dalam peringkat akhir tender untuk meraih beberapa kontrak bernilai tinggi termasuk projek yang berpotensi dengan Petronas untuk kontrak Nautica Tembikai FSO.
Syarikat itu juga telah mempelbagaikan pangkalan pelanggannya, baru-baru ini ia mendaftar sebagai vendor dengan Brunei Shell, membuka saluran baharu untuk kontrak jangka panjang pada kadar sewa yang lebih tinggi.
“Kami mahu memacu pertumbuhan masa depan yang berdaya tahan dengan portfolio pelbagai selain perkongsian jangka panjang terutamanya dengan syarikat seperti Brunei Shell, yang mana EATech kini bertindak sebagai vendor rasmi.
“Kami juga menjadi satu-satunya syarikat Malaysia yang layak membida untuk tender operasi jeti,” tambahnya.
— BERNAMA