KUALA LUMPUR, 3 Okt (Bernama) — Pertama Digital Bhd hari ini memberi jaminan kepada para pemegang sahamnya bahawa syarikat itu kekal kukuh dan berada dalam kedudukan untuk mencatat pertumbuhan walaupun harga sahamnya susut mendadak.
Dalam kenyataannya, syarikat itu menegaskan ia turut bersandarkan kepada asas-asas kewangan yang kukuh, disokong oleh pasukan berkemampuan untuk beroperasi dalam ruang penyelesaian digital yang dinamik dengan potensi pertumbuhan yang besar.
“Dalam beberapa bulan ini, syarikat berjaya menaikkan semula keputusan suku sebelum ini yang negatif menerusi produk-produk baharu yang memberi sumbangan besar kepada prestasinya.
“Pada masa ini, Pertama Digital beroperasi dengan lebih cekap dan berada dalam kedudukan baik untuk mencatat pertumbuhan mampan tanpa memerlukan dana luaran,” kata Pengarah Eksekutifnya Sabri Ab Rahman.
Bursa Malaysia pada Khamis mengumumkan tindakannya menggantung jualan singkat Pertama Digital bagi tempoh berbaki hari ini selepas harga dagangan terakhir sekuriti yang diluluskan merosot lebih 15 peratus atau 15 sen daripada harga rujukan.
Selain itu, secara berasingan, Pertama Digital menerima lanjutan masa daripada Bursa Malaysia untuk mengemukakan pelan regularisasi menjelang minggu pertama Februari 2025.
“Lanjutan masa itu membolehkan Pertama Digital meneliti beberapa inisiatif penting, termasuk cadangan pengambilalihan pegangan yang membawa kepada kawalan dalam Kridentia Tech Sdn Bhd,” katanya.
Sabri berkata syarikat itu menjangkakan dapat mengemukakan pelan penuh itu sebelum akhir tahun ini yang lebih awal daripada tarikh akhir ditetapkan.
Beliau berkata Kridentia Tech mempunyai rekod prestasi dan keupayaan yang terbukti menepati visi Pertama Digital dan kedua-dua syarikat juga berharap dapat memuktamadkan urus niaga itu menjadi sebahagian daripada strategi regularisasi Pertama Digital.
Selain itu, Pertama Digital juga giat dalam usaha meningkatkan tawaran produk digitalnya, termasuk eJamin, perkhidmatan pinjaman pelajar Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) dan dan MyDigital ID.
“Ketika syarikat mengemudi tempoh transformasinya, ia komited untuk menyampaikan nilai jangka panjang bagi pemegang saham serta ekosistem yang lebih meluas,” katanya.
— BERNAMA
TAG: Pertama Digital, saham, pelan, Sabri Ab Rahman