KUALA LUMPUR, 2 Okt (Bernama) — Anak syarikat milik penuh Sunway Bhd, Sunway Melawati Sdn Bhd, telah memeterai perjanjian jual beli dengan Viva Impian Sdn Bhd (VISB) untuk memperoleh sebidang tanah pada harga RM320 juta di Cheras di sini.
Kumpulan itu melalui satu kenyataan hari ini mengumumkan bahawa cadangan pengambilalihan tersebut melibatkan petak pegangan bebas utama seluas 7.11 hektar di Taman Taynton, yang terletak secara strategik bersebelahan dengan pembangunan kediaman Sunway Alishan.
“Petak itu diperuntukkan untuk pembangunan guna bercampur, dengan anggaran nilai pembangunan kasar berjumlah RM3.2 bilion.
“Pembangunan yang dicadangkan itu akan menampilkan pangsapuri servis mewah, ia bakal menawarkan pengalaman hidup bandar yang unik di samping podium runcit berfokuskan kesejahteraan yang merangkumi klinik-klinik kesihatan,” katanya.
Pengarah Urusan Sunway Property, Sarena Cheah berkata pengambilalihan itu mewakili peluang menarik bagi memenuhi permintaan yang semakin melonjak untuk pembangunan bersepadu berkualiti tinggi di Kuala Lumpur.
“Visi kami adalah untuk mewujudkan ruang komuniti holistik yang berpaksikan kesejahteraan, disamping memenuhi keperluan perubahan gaya hidup bandar moden.
“Kami yakin pembangunan ini akan menjadi pemangkin serta meningkatkan pertumbuhan di kawasan sekitar,” katanya.
Selain itu, syarikat itu mengesahkan bahawa Sunway Property akan bekerjasama rapat dengan pihak berkepentingan tempatan termasuk pihak berkuasa perancang untuk memastikan pembangunan berkenaan memenuhi standard tertinggi, keselamatan dan tanggungjawab alam sekitar.
“Usaha baharu ini mengesahkan kedudukan Sunway Property sebagai peneraju dalam inovasi, pembangunan bandar yang lestari dan menyambung legasinya dalam membina komuniti yang berkembang maju serta tahan ujian masa,” tambahnya.
— BERNAMA