KUALA LUMPUR, 2 Okt (Bernama) — Anak syarikat milik penuh Econpile Holdings Bhd (Econpile), Econpile (M) Sdn Bhd telah memperoleh dua kontrak bernilai RM33.3 juta daripada Sg Besi Construction Sdn Bhd.
Econpile dalam makluman kepada Bursa Malaysia hari ini berkata kontrak itu melibatkan kerja-kerja cerucuk dan substruktur berfungsi sebagai subkontraktor.
Menurut syarikat itu, kontrak pertama yang bernilai RM21.30 juta adalah untuk pembinaan sebuah blok pangsapuri perkhidmatan 51 tingkat dengan 653 unit yang terletak di Lorong Raja Uda 2 dan dibangunkan oleh Lofthill Development Sdn Bhd (Projek Raja Uda).
Kontrak kedua pula, kata Econpile bernilai RM12 juta membabitkan pembinaan blok pejabat strata 59 tingkat dengan 350 unit di Kuala Lumpur untuk Armani Development Sdn Bhd (Projek Mayang).
“Projek Raja Uda dijangka siap dalam tempoh 10 bulan bermula dari 2 Okt, 2024 manakala Projek Mayang akan siap dalam tempoh 12 bulan dari tarikh permulaannya, yang akan diumumkan kemudian,” kata syarikat berkenaan.
Selain itu, projek tersebut dijangka menyumbang kepada perolehan dan pendapatan syarikat bagi tahun kewangan berakhir 30 Jun 2025, dan seterusnya.
— BERNAMA