KUALA LUMPUR, 22 Ogos (Bernama) — Elridge Energy Holdings Bhd (EEHB), pengeluar produk bahan api biojisim optimis mengenai prospek syarikat dengan menjangkakan permintaan besar dari Jepun dan negara-negara ASEAN.
EEHB menerusi anak syarikat milik penuhnya, Bio Eneco Sdn Bhd terlibat dalam menghasilkan produk-produk bahan api biojisim terutamanya tempurung isirung sawit (PKS) dan pelet kayu.
Kumpulan itu menawarkan perkhidmatan kepada pelbagai pelanggan di seluruh Malaysia, Singapura, Indonesia dan Jepun, memainkan peranan penting di rantau itu dalam beralih kepada sumber tenaga yang lebih bersih.
Pengarah Eksekutif dan Pengarah Kewangan Salahudin Mohd Razali berkata permintaan semakin meningkat terutamanya kepada negara-negara yang menukar loji janakuasa arang batu mereka kepada biojisim.
“Terdapat potensi besar di Jepun, Thailand dan Singapura, yang mana mereka menyasarkan untuk menggunakan tenaga bersih menjelang 2030, seterusnya meningkatkan keperluan bahan api hijau.
“Kami menjangka tenaga bersih akan mendapat permintaan yang besar, itulah sebabnya kami mengumpul dana untuk meningkatkan kapasiti kami,” katanya kepada pemberita selepas penyenaraian sulung EEHB di Pasaran ACE Bursa Malaysia hari ini.
Saham EEHB dibuka pada 34 sen hari ini, meningkat 17.2 peratus atau sebanyak lima sen, melebihi harga tawaran awam permulaan (IPO) pada 29 sen sesaham dengan 24.97 juta saham diurusniagakan.
Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Oliver Yeo dalam satu kenyataan berkata penyenaraian itu dijangka menarik minat yang ketara daripada pelabur tempatan dan antarabangsa, berupaya menjadikan EEHB untuk tumbuh dengan pesat.
“Kumpulan merancang untuk memanfaatkan momentum ini bagi mengembangkan operasinya, meningkatkan penawaran produk dan menyumbang kepada usaha global dalam memerangi perubahan iklim melalui penyelesaian tenaga mampan,” katanya.
Syarikat itu telah mengumpul RM101.5 juta daripada IPO.
Daripada jumlah itu, ia berkata 46.31 peratus (RM47 juta) akan digunakan bagi pengambilan tanah, pembinaan kilang dan gudang baharu di Kuantan, manakala 20.8 peratus (RM21.1 juta) akan digunakan untuk pembelian jentera baharu dan peralatan.
“Selain itu, 26.66 peratus (RM27.1 juta) akan digunakan untuk modal kerja dan baki 6.21 peratus (RM6.3 juta) untuk menampung perbelanjaan penyenaraian,” tambahnya.
— BERNAMA




![Saham Kajian: NexG Raih Lanjutan Kontrak Dari KDN [8 Julai 2025]](https://thekapital.my/wp-content/uploads/2025/07/250708-TheKapital-Featured-NexG-360x180.jpg)