KUALA LUMPUR, 15 Ogos (Bernama) — Sapura Resources Bhd berkata, ahli lembaga pengarahnya sedang membuat penilaian dari segi persaingan dan konflik yang mungkin berlaku dalam perniagaan penerbangannya jika Explorer Group Sdn Bhd dan Royal Jet LLC bergabung dalam perniagaan itu.
Menjawab artikel dalam akhbar harian New Straits Times (NST) bertajuk, “Poser over conflicts of interest at Sapura Resources” (Isu konflik kepentingan di Sapura Resources) yang dikeluarkan awal hari ini, syarikat itu berkata lembaga pengarah sedang mendapatkan maklumat lanjut dan dalam proses menilai pilihan yang ada untuk menangani persaingan dan situasi konflik.
“Memandangkan perniagaan penerbangan syarikat adalah perniagaan hangar, pengendalian darat dan pengurusan pesawat serta potensi penyelenggaraan, pembaikan dan baik pulih (MRO) jet peribadi, lembaga pengarah menyedari mungkin terdapat persaingan jika Explorer Group Sdn Bhd bersama-sama Royal Jet LLC memulakan perniagaan hangar, pengendalian darat, perkhidmatan pengurusan pesawat dan perniagaan MRO jet peribadi.
“Pengumuman yang sewajarnya akan dibuat dalam masa terdekat,” katanya dalam makluman kepada Bursa Malaysia hari ini.
Menurut NST, Explorer Group dan RoyalJet dilaporkan telah menandatangani Memorandum Persefahaman pada Disember 2023 untuk bekerjasama dalam operasi penerbangan persendirian yang berpangkalan di Lapangan Terbang Sultan Abdul Aziz Shah.
“Kerjasama itu bertujuan memberi peluang kepada RoyalJet menceburi pasaran penerbangan persendirian di Asia Tenggara bagi operasi pangkalan tetap, penyewaan pesawat persendirian dan perkhidmatan penyelenggaraan pesawat,” katanya.
Laporan itu juga memetik pemegang saham minoriti berkata perjanjian tersebut boleh mengakibatkan konflik kepentingan kerana Datuk Shahriman Shamsuddin ialah pemegang saham dan Pengarah Eksekutif Explorer Group dan juga Pengarah Urusan Sapura Resources.
Sehubungan itu, Sapura Resources berkata pihaknya telah mendapatkan nasihat perundangan dan Shahriman telah diarahkan untuk mengelak daripada menguruskan perniagaan penerbangan.
Ia berkata jawatankuasa lembaga pengurusan penerbangan telah dibentuk untuk menjalankan peranannya, dengan ketua pegawai operasi penerbangan dan semua ketua dalam perniagaan penerbangan akan melaporkan kepada jawatankuasa itu.
“Syarikat memberi jaminan kepada semua pemegang saham bahawa ia akan mematuhi semua peruntukan undang-undang dan lembaga pengarah akan terus melaksanakan tugas fidusiarinya demi kepentingan terbaik syarikat dan mematuhi piawaian tadbir urus korporat yang baik,” katanya.
— BERNAMA




