KUALA LUMPUR, 13 Ogos (Bernama) — Anak syarikat milik penuh Minetech Resources Bhd (Minetech), Coral Evergreen Sdn Bhd, menerima surat lantikan daripada Puncak Utara Sdn Bhd untuk menjalankan projek menaik taraf sistem pembetungan bernilai RM36.79 juta.
Pakar kejuruteraan awam itu dalam makluman kepada Bursa Malaysia hari ini berkata, projek berkenaan melibatkan peningkatan sistem pembetungan dan infrastruktur berkaitan di Perbandaran Ketengah Jaya, Bukit Besi, dan Seri Bandi Fasa III, Terengganu.
Projek tersebut bermula pada 29 Julai 2024, dan dijangka siap pada 13 Jun 2027.
Pengerusi Eksekutif Minetech Abang Abdillah Izzarim berkata syarikat berkenaan akan terus aktif mendapatkan projek utama dan mengembangkan kehadirannya dalam sektor infrastruktur, termasuk kejuruteraan awam dan rawatan air.
“Kami juga mahu meneroka peluang di Sarawak pada masa depan dan menyasar untuk memacu pertumbuhan dan mencapai hasil positif,” katanya.
— BERNAMA