KUALA LUMPUR, 6 Ogos (Bernama) — Chin Hin Group Bhd merancang untuk meneroka pasaran pusat data melalui cadangan pengambilalihan 65 peratus kepentingan ekuiti dalam Critical System Specialist Sdn Bhd (CSS) dan CSS Engineering and Construction Sdn Bhd (CSE) dengan harga RM51.5 juta.
Kumpulan pembinaan dan pembangunan hartanah itu berkata CSS dan CSE adalah perintis dalam bidang kejuruteraan, perolehan, pembinaan, dan pentauliahan (EPCC) pusat data di Malaysia.
Chin Hin dalam satu kenyataan hari ini berkata ia telah menandatangani perjanjian untuk mengambil alih pegangan dalam CSS dan CSE dengan harga masing-masing pada RM41.2 juta dan RM10.3 juta.
Pelanggan CSS dan CSE termasuk beberapa nama besar dalam sektor kewangan, telekomunikasi, logistik, dan rantaian bekalan seperti Bank Negara Malaysia, Starhub, Macquarie, DHL, dan NTT Communications.
Pengarah Urusan Kumpulan Chiau Haw Choon berkata cadangan pengambilalihan itu akan menjadikan Chin Hin sebagai pemain utama dengan kelebihan pasaran yang ketara.
“Kami menjangkakan keuntungan ketara, disokong oleh nilai perolehan kontrak sedia ada CSS bernilai RM388 juta selepas urus niaga selesai. Dengan pengalaman CSS selama 21 tahun dalam EPCC, kami bersiap sedia untuk memanfaatkan pertumbuhan pesat dalam sektor pusat data,” katanya.
Menurut Chiau, cadangan pengambilalihan itu mempunyai jaminan keuntungan kumulatif sebanyak RM12.39 juta bagi 2023 dan 2024, yang dijangka meningkatkan keuntungan, memperkukuh prestasi kewangan, dan memberikan nilai kepada pemegang saham.
Selepas pengambilalihan itu selesai, kumpulan akan memulakan projek pusat data berkapasiti 15 megawatt di Johor yang akan menyediakan perkhidmatan pengkomputeran awan dan kecerdasan buatan bagi wilayah itu, kata Chin Hin.
Beliau berkata cadangan pengambilalihan itu akan dibiayai melalui gabungan dana dalaman dan pinjaman bank serta dijangka selesai menjelang suku ketiga 2024.
— BERNAMA