KUALA LUMPUR, 1 Ogos (Bernama) — Anak syarikat Pekat Group Bhd, Pekat Teknologi Sdn Bhd (PTSB) bercadang untuk mengambil alih 60 peratus kepentingan dalam Apex Power Industry Sdn Bhd menerusi pembelian 75,000 saham pada harga RM96 juta tunai.
Dalam makluman kepada Bursa Malaysia hari ini, syarikat tenaga solar itu memaklumkan PTSB telah memeterai perjanjian penjualan saham bersyarat dengan pemegang saham tunggal Apex Power, Low Khek Heng (juga dikenali sebagai Low Choon Huat) untuk cadangan pengambilalihan itu.
“Cadangan pengambilalihan itu memberi peluang kepada kumpulan untuk mengukuhkan penyertaannya dalam sektor peralatan pengagihan kuasa melalui pembelian kepentingan ekuiti 60 peratus dalam Apex Power.
“Selesai pengambilalihan, kumpulan akan mengembangkan rangkaian produk dan perkhidmatannya, menjana aliran hasil tambahan, dan meningkatkan nilai pemegang saham keseluruhan,” katanya.
Selain itu, Pekat berkata cadangan pengambilalihan turut mengupayakan kumpulan itu memanfaatkan prospek pertumbuhan industri peralatan pengagihan kuasa, yang sebahagian besarnya didorong oleh pembangunan infrastruktur.
Ia berkata perjanjian itu termasuk jaminan keuntungan agregat sebanyak RM48 juta yang dijangka dicapai oleh Apex Power sepanjang tempoh perjanjian.
“Pengambilalihan itu dijangka meningkatkan keuntungan Pekat dengan menyatukan keuntungan selepas cukai Apex Power, sekali gus mengukuhkan prestasi kewangannya,” katanya.
Pekat juga berusaha untuk mempelbagaikan aktiviti utama sedia ada untuk memasukkan segmen peralatan pengagihan kuasa selepas pengambilalihan itu.
Syarikat menjangkakan segmen baharu ini akan menyediakan aliran hasil tambahan, memberi kesan positif kepada pendapatan kumpulan.
“Cadangan kepelbagaian itu akan meluaskan asas pendapatan kumpulan dan mengurangkan risiko perniagaan yang berkaitan dengan pergantungan pada operasi sedia ada,” katanya.
— BERNAMA
TAG: Pekat, PTSB, Apex Power, saham, tenaga solar