KUALA LUMPUR, 31 Julai (Bernama) — Kerugian bersih Lotte Chemical Titan Holding Bhd (LCT) bagi suku kedua berakhir 30 Jun, 2024 susut kepada RM248.88 juta berbanding RM313.47 juta yang dicatatkan pada suku yang sama tahun lepas.
Lotte Chemical Titan dalam makluman kepada Bursa Malaysia hari ini berkata kerugian bersih yang mengecil itu adalah susulan daripada volum jualan dan margin negatif kasar yang lebih rendah dan penurunan nilai inventori berbanding nilai boleh direalisasi bersihnya.
Sementara itu, hasil bagi Separuh Kedua 2024 merosot kepada RM1.78 bilion berbanding RM1.86 bilion pada tempoh yang sama tahun lepas.
Bagi tempoh enam bulan pertama, kerugian bersih kumpulan turun 19 peratus kepada RM426.91 juta daripada RM538.23 juta pada tempoh yang sama tahun sebelumnya manakala hasil susut kepada RM3.70 bilion daripada RM3.83 bilion.
“Pada Suku Kedua 2024, kumpulan melaksanakan rancangan untuk meningkatkan prestasi loji dan mengekalkan kecekapan operasi yang kukuh di kedua-dua loji di Pasir Gudang dan Tanjung Langsat,” kata presiden dan ketua pegawai eksekutif LCT Park Hyun Chul.
Jumlah jualan menurun disebabkan penutupan kilang, katanya, sambil menambah kumpulan itu akan terus menumpukan kepada usaha untuk mengoptimumkan pengeluaran dan pengurusan aliran tunai agar sejajar dengan strategi perniagaannya untuk mengekalkan kedudukan pasarannya.
“Selain itu, pembinaan projek Lotte Chemical Indonesia New Ethylene (LINE) yang terletak di Merak, Indonesia sedang berjalan mengikut jadual dan dijangka siap menjelang 2025.
“Apabila siap kelak, Projek LINE akan menambahkan jumlah kapasiti pengeluaran kumpulan sebanyak 65 peratus,” katanya.
— BERNAMA




