KUALA LUMPUR, 30 Julai (Bernama) — Keuntungan bersih Bursa Malaysia Bhd bagi suku kedua berakhir 30 Jun 2024, meningkat 5.1 peratus kepada RM80.44 juta berbanding RM76.24 juta dalam tempoh yang sama tahun lepas disokong oleh kecairan dan sentimen pasaran yang bertambah baik.
Hasil meningkat kepada RM199.94 juta daripada RM144.59 juta sebelumnya, kata syarikat itu dalam makluman kepada Bursa Malaysia hari ini.
Bagi tempoh separuh tahun pertama berakhir 30 Jun 2024, (Separuh Pertama 2024), keuntungan bersih meningkat kepada RM155.47 juta daripada RM132.42 juta manakala hasil menokok kepada RM387.13 juta daripada RM301.09 juta sebelumnya.
Peningkatan keuntungan selepas cukai, zakat dan faedah minoriti disumbang oleh peningkatan 29.3 peratus daripada hasil operasi kepada RM374.5 juta pada Separuh Pertama 2024 daripada RM289.6 juta pada Separuh Pertama 2023.
Pengerusi Bursa Malaysia Tan Sri Abdul Wahid Omar berkata prestasi kukuh syarikat itu pada Separuh Pertama 2024 dipacu oleh kecairan dan sentimen pasaran yang bertambah baik berikutan peningkatan keyakinan terhadap kemajuan dan rancangan ekonomi Malaysia.
“Dengan keadaan ekonomi Malaysia dijangka kekal menggalakkan, kami optimis Bursa akan mencatatkan keputusan kukuh bagi separuh kedua tahun ini,” katanya dalam satu kenyataan berasingan.
Ketua Pegawai Eksekutifnya Datuk Muhamad Umar Swift berkata walaupun berdepan ketidaktentuan makroekonomi luaran yang berterusan, pasaran modal Malaysia menyaksikan prestasi kukuh pada Separuh Pertama 2024, dengan mencatatkan beberapa rekod tertinggi.
“Berdasarkan keadaan ekonomi semasa dan sentimen pasaran yang bertambah baik, kami optimis momentum positif ini dapat dikekalkan.
“Kami komited untuk meningkatkan daya tarikan Bursa Malaysia bagi mencipta nilai kepada pemegang kepentingan kami sambil memacu pertumbuhan ekonomi,” katanya.
Menurut Bursa Malaysia, aktiviti dagangan rancak yang dilihat dalam pasaran sekuriti pada Separuh Pertama 2024 disokong oleh prospek ekonomi kukuh susulan aliran masuk tinggi pelaburan langsung asing serta jangkaan prestasi pendapatan korporat dan mudah tunai domestik.yang bertambah baik.
“Perkembangan tempatan dan global yang berterusan seperti peralihan dasar monetari di ekonomi maju, pemulihan ekonomi China, ketegangan geopolitik di Timur Tengah, keputusan pilihan raya Presiden Amerika Syarikat, dan prestasi ringgit akan terus mempengaruhi turun naik ekuiti pasaran.
“Minat untuk melaksanakan tawaran awam permulaan (IPO) masih tinggi dan bursa menjangkakan momentum IPO terus kekal pada Separuh Kedua 2024,” katanya dalam makluman tersebut.
Bursa berkata ia akan meneruskan capaiannya dan meluaskan penyertaan pelabur melalui inisiatif seperti pameran Bursa Marketplace, siri Invest Malaysia dan pendigitalan proses untuk menyediakan akses mudah kepada peluang pelaburan bagi pelabur runcit.
Aktiviti dagangan dan lindung nilai pasaran derivatif terus dipengaruhi oleh turun naik dalam harga komoditi asas dan pasaran ekuiti.
Unjuran peningkatan pengeluaran minyak sawit mentah dan aktiviti dagangan pasaran ekuiti yang rancak dijangka memberi kesan positif kepada pasaran.
Bagi pasaran Islam, bursa berkata ia akan meneruskan fokusnya untuk memperkenalkan ciri nilai tambah baharu dalam aplikasi Bursa Gold Dinar serta usaha pemasaran digital untuk meningkatkan bilangan pelabur.
“Aktiviti dagangan Bursa Suq Al-Sila’ (BSAS) dijangka terus dipengaruhi oleh mudah tunai dalam pasaran wang antara bank Islam.
“Sementara itu, bursa akan terus membangunkan rangkaian lebih luas produk dan penyelesaian patuh Syariah yang inovatif termasuk penawaran kewangan sosial Islam yang memenuhi permintaan pelabur yang beretika dan bertanggungjawab secara sosial seperti dana dagangan bursa bercirikan wakaf,” katanya.
Bursa Malaysia optimis dapat mencapai petunjuk prestasi utamanya bagi tahun kewangan berakhir 31 Dis, 2024.
“Lembaga pengarah mengisytiharkan dividen interim yang lebih tinggi sebanyak 18 sen sesaham bagi Tahun Kewangan 2024 berjumlah kira-kira RM145.7 juta, mewakili nisbah pembayaran dividen sebanyak 93.7 peratus,” katanya.
— BERNAMA