KUALA LUMPUR, 24 Julai (Bernama) — United Plantations Bhd mencatatkan keuntungan bersih yang lebih tinggi kepada RM185.94 juta pada suku kedua berakhir 30 Jun, 2024 berbanding RM159.02 juta pada suku yang sama tahun lepas.
Hasil turut meningkat kepada RM546.08 juta daripada RM470.07 juta sebelumnya disebabkan peningkatan hasil untuk segmen perladangan dan penapisan susulan daripada harga minyak sawit mentah (MSM) dan isirung sawit (PK) yang lebih tinggi.
Bagi separuh pertama 2024, keuntungan bersih kumpulan meningkat kepada RM318.81 juta daripada RM271.11 juta dalam tempoh yang sama tahun lepas, manakala hasil meningkat 10 peratus kepada RM1.02 bilion daripada RM930.06 juta sebelumnya.
Dalam makluman kepada Bursa Malaysia hari ini, United Plantations berkata hasil daripada segmen perladangan dalam tempoh semasa meningkat 12.7 peratus berbanding tempoh yang sama tahun lepas disebabkan oleh pengeluaran MSM yang lebih tinggi dan harga purata MSM dan PK yang tinggi.
Harga purata MSM dan PK pada RM4,131 setiap tan dan RM2,261 setiap tan masing-masing naik 9.0 peratus dan 15.1 peratus berbanding tempoh yang sama sebelumnya.
“Pengeluaran MSM yang lebih tinggi, harga jualan yang lebih baik di samping kos pengeluaran yang lebih rendah menyebabkan keuntungan sebelum cukai meningkat 28.4 peratus berbanding tempoh yang sama tahun lalu,” katanya.
Sementara itu, hasil untuk segmen penapisan meningkat sebanyak 12.0 peratus kepada RM674.7 juta dalam tempoh semasa daripada RM602.6 juta dalam tempoh yang sama tahun sebelumnya.
Ini disebabkan oleh harga jualan purata yang lebih tinggi hasil daripada harga MSM dan PK yang lebih baik, serta jumlah jualan yang lebih tinggi.
Mengenai prospek, United Plantations berkata berdasarkan harga minyak sawit semasa dan tumpuan syarikat untuk mendapatkan hasil yang dianggarkan pada baki 2024, lembaga pengarah menjangka keputusan untuk tahun ini akan memuaskan.
— BERNAMA




