KUALA LUMPUR, 22 Julai (Bernama) — YX Precious Metals Bhd (YXPM) mendapat kelulusan Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC) bagi memindahkan penyenaraiannya ke Pasaran Utama Bursa Securities.
Dalam kenyataannya hari ini, YXPM menyifatkan langkah itu sebagai pencapaian penting yang mencerminkan prestasi kewangannya yang kukuh, komitmen terhadap pertumbuhan selain sokongan daripada pemegang saham dan pihak berkepentingan.
“Pemindahan penyenaraian ke Pasaran Utama ini juga sejajar dengan strategi YXPM untuk meningkatkan profil dan menarik pelabur secara lebih meluas,” katanya.
Kumpulan itu berkata sejak penyenaraiannya di Pasaran ACE, YXPM juga mencatat pertumbuhan secara konsisten dan berupaya mengukuhkan kedudukan pasarannya.
Sehubungan itu, peralihan ke Pasaran Utama akan membolehkan kumpulan meraih kebolehlihatan dan pengiktirafan selain membantu dari segi akses terhadap peluang pertumbuhan baharu.
Pengarah Urusan YXPM Ng Sheau Chyn berkata penyenaraian di Pasaran Utama itu turut menjadi bukti usaha gigih pasukan serta komitmen dalam memberi nilai kepada pihak berkepentingan.
“Kami berharap dapat memanfaatkan peluang baharu dan memacu strategi pertumbuhan,” katanya.
Bagi tahun kewangan berakhir pada 31 Dis, 2023, kumpulan itu mencatat keuntungan bersih sebanyak RM9.0 juta manakala perolehan hasil sebanyak RM239.8 juta.
Pada akhir dagangan hari ini, sahamnya tidak berubah pada 26.5 sen dengan 628,000 saham diniagakan.
— BERNAMA