KUALA LUMPUR, 18 Julai (Bernama) — Anak syarikat milik penuh Gamuda Bhd (Gamuda) mendapat kontrak bernilai AU$1.6 bilion (RM5 bilion) melibatkan teknologi isyarat berkapasiti tinggi untuk rangkaian kereta api pinggir bandar Perth (projek isyarat berkapasiti tinggi METRONET).
Dalam makluman kepada Bursa Malaysia hari ini, Gamuda berkata kontrak itu telah dianugerahkan oleh Public Transport Authority of Western Australia kepada anak syarikat milik penuhnya di Australia, DT Infrastructure Pty Ltd dan ALSTOM Transport Australia Pty Ltd.
Ia melibatkan reka bentuk, pembekalan, pemasangan, ujian, pengoperasian dan penyelenggaraan Kawalan Kereta Api berasaskan Komunikasi Urbalis di rangkaian kereta api pinggir bandar Perth serta menaik taraf sistem isyarat dan kawalan sedia ada kepada sistem kawalan kereta api berasaskan komunikasi bersepadu.
Kontrak selama 10 tahun itu dijangka dapat menjana pendapatan kira-kira AU$737 juta (RM2.3 bilion) untuk Gamuda.
“Projek Isyarat Berkapasiti Tinggi METRONET dijangka menyumbang secara positif kepada perolehan dan pendapatan kumpulan Gamuda untuk tahun kewangan berakhir 31 Julai 2025,” katanya.
Projek itu akan memodenkan sistem isyarat kereta api di Perth, meningkatkan kapasiti rangkaiannya sebanyak 40 peratus dan kecekapan tenaga, memastikan keselamatan siber dan menjamin sistem itu bersedia untuk pertumbuhan masa depan, semua ini dengan gangguan minimum kepada penumpang.
— BERNAMA




