KUALA LUMPUR, 11 Julai (Bernama) — Saham-saham pembuat produk logam kepingan dan pembekal perancah, BWYS Group Bhd yang tersedia untuk orang ramai di bawah tawaran awam permulaan (IPO) telah terlebih langgan sebanyak 48.51 kali.
Syarikat yang bakal disenaraikan di Pasaran ACE itu, yang memperuntukkan 51.26 juta saham baharu pada 22 sen setiap satu untuk orang ramai telah menerima 23,223 permohonan membabitkan 2.53 bilion saham bernilai kira-kira RM558.35 juta.
“Untuk bahagian bumiputera, 13,205 permohonan bagi 1.22 bilion saham terbitan diterima, mewakili kadar terlebih langgan keseluruhan sebanyak 46.71 kali.
“‘Bagi bahagian awam Malaysia, 10,018 permohonan merangkumi 1.32 bilion saham terbitan telah dikemukakan, menyebabkan kadar terlebih langgan 50.31 kali,” katanya melalui satu kenyataan.
BWYS turut memaklumkan bahawa 61.51 juta saham terbitan telah disediakan untuk permohonan oleh pengarah dan kakitangan yang layak termasuk orang yang telah menyumbang kepada kejayaan syarikat telah dilanggan sepenuhnya.
Ia juga berkata 15.38 juta saham terbitan dan 100 bilion saham yang ditawarkan secara langsung melalui penempatan persendirian kepada pelabur terpilih telah dikeluarkan sepenuhnya.
Turut dilanggan sepenuhnya ialah 128.15 bilion saham terbitan melalui penempatan persendirian kepada pelabur Bumiputera yang diluluskan dibawah Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri.
Pengarah Pengurusan BWYS, Kang Beng Hai ketika mengulas mengenai prospek berkata permintaan kukuh bagi produk keluli, didorong oleh penyambungan semula projek-projek pembinaan, peningkatan perbelanjaan infrastruktur dan pembinaan pusat data, menawarkan prospek yang positif untuk sektor keluli.
“Menurut Persekutuan Industri Besi dan Keluli Malaysia (MISIF), penggunaan keluli domestik dijangka berkembang antara 8.3 juta dan 9.0 juta tan tahun ini daripada 7.9 juta tan pada 2023.
“Unjuran industri yang positif ini mengukuhkan lagi keyakinan kami terhadap potensi pertumbuhan BWYS,” katanya.
BWYS akan disenaraikan di Bursa Malaysia menjelang 22 Julai 2024, dan akan mempunyai permodalan pasaran kira-kira RM225.55 juta berdasarkan harga terbitan 22 sen sesaham serta modal saham diperbesarkan sebanyak 1.03 bilion saham.
M&A Securities Sdn Bhd menjadi penasihat utama, penaja, penaja jamin dan ejen penempatan untuk pelaksanaan IPO tersebut.
— BERNAMA




