KUALA LUMPUR, 2 Julai (Bernama) — UUE Holdings Bhd (UUE) yang mula disenaraikan dengan kukuh di Pasaran ACE Bursa Malaysia pada Selasa komited untuk mengembangkan pemasaran, produk dan perkhidmatannya di Singapura pada separuh kedua 2024.
Pengarah Eksekutif dan Ketua Pegawai Kewangan Vincent Wong berkata syarikat penyelesaian kejuruteraan utiliti bawah tanah itu telah menawarkan penggerudian arah mendatar (HDD) di Singapura.
“Selain itu, kami berhasrat untuk merangkumkan pembelian rig berskala besar dalam perbelanjaan modal kami, yang kami yakin akan membantu meneroka dan mengembangkan perkhidmatan kami untuk penyelesaian HDD bawah laut,” katanya pada sidang media selepas majlis penyenaraian syarikat itu di sini, pada Selasa.
Berdasarkan prospektus UUE, syarlkat itu memperuntukkan RM15.75 juta, mewakili kira-kira 52.6 peratus daripada hasil kasar daripada terbitan awamnya, untuk pembelian jentera dan peralatan — tiga mesin HDD, sebuah mesin HDD rig berskala besar, lima mesin pengorek dan lori — untuk menambah kumpulan jentera sedia ada.
Saham syarikat itu dibuka pada harga 66 sen sesaham untuk premium 175 peratus atau 42 sen berbanding harga tawaran pada 24 sen.
Semasa dagangan dibuka, sebanyak 30.71 juta saham didagangkan.
Sementara itu dalam kenyataan, Pengerusi Lee Chye Tee berkata pihaknya merancang untuk membeli lebih banyak jentera untuk mengembangkan rangkaian penyelesaian kejuruteraan utiliti bawah tanah dan skala projeknya.
“Ini termasuk membeli mesin HDD rig berskala besar untuk meneroka kerja HDD bawah laut, sekali gus memperluas tawaran perkhidmatan kami. Bagi menambah aset sedia ada, kami menyewa jentera tambahan termasuk mesin HDD, mesin pengorek dan lori.
“Permintaan terhadap penyelesaian kejuruteraan utiliti bawah tanah didorong oleh rancangan Singapura untuk menambah penduduknya kepada di antara 6.5 juta dengan 6.9 juta pada 2030.
“Kami mahu memanfaatkan rekod prestasi dan kepakaran kami untuk mengambil bahagian secara aktif dalam tender bagi projek pengedaran elektrik di Singapura,” katanya.
Saham tersenarai syarikat itu diklasifikasikan sebagai patuh syariah oleh Majlis Penasihat Syariah Suruhanjaya Sekuriti Malaysia.
— BERNAMA




