KUALA LUMPUR, 19 Jun (Bernama) — Kuala Lumpur Kepong Bhd (KLK) hari ini mengumumkan bahawa anak syarikatnya, KL-Kepong Rubber Products Sdn Bhd, kini tidak mempunyai sebarang hubungan kontrak dengan Agensi Pekerjaan UKHWAH Sdn Bhd berkuat kuasa serta-merta.
Sehubungan itu, sebarang kaitan dengan SOS Manpower Service (SOS) akan turut dihentikan, kata KLK dalam satu kenyataan hari ini.
KLK berkata penilaian bebas pihak ketiga mengemukakan cadangan untuk meningkatkan usaha wajar, prosedur operasi standard dan pengurusan rungutan yang mana KL-Kepong Rubber Products dan kumpulan komited sepenuhnya bagi pelaksanaannya.
“Kumpulan ini kekal komited untuk mematuhi piawaian antarabangsa dan undang-undang buruh berkaitan pengambilan pekerja di dalam dan di negara sumber serta akan terus menguatkuasakan dasar pengambilan pekerja tanpa yuran yang ketat bagi melindungi kebajikan pekerja kami.
“Kami akan turut memandang serius semua laporan pemberi maklumat dan berterima kasih kepada semua pihak terbabit yang tampil memberi maklumat untuk membantu siasatan,” kata KLK.
Kenyataan itu dibuat susulan dakwaan baru-baru ini mengenai pengambilan pekerja tidak beretika terhadap SOS Manpower dan sub-ejennya di Nepal.
Ejen KL-Kepong Rubber Products di Malaysia bagi pekerja asing dari Nepal ialah Agensi Pekerjaan UKHWAH yang seterusnya telah melantik SOS Manpower sebagai ejen di Nepal untuk membantu usaha pengambilan tenaga kerja berkenaan.
— BERNAMA