KUALA LUMPUR, 18 Jun (Bernama) — Notion VTec Bhd menerima pertanyaan aktiviti pasaran luar biasa (UMA) daripada Bursa Malaysia Securities hari ini disebabkan kenaikan mendadak harga sahamnya.
Saham syarikat itu meningkat 8.29 peratus atau 15 sen kepada RM1.96 pada penutup dagangan hari ini.
Dalam makluman kepada Bursa Malaysia sebagai tindak balas kepada UMA tersebut, syarikat itu mengaitkan kenaikan harga sahamnya baru-baru ini susulan pemulihan prestasi yang kukuh dan pemulihan industri, menyerlahkan pulangan positifnya pada suku pertama dan kedua tahun kewangan 2024.
“Keputusan kewangan kami telah menunjukkan peningkatan yang konsisten, menunjukkan daya tahan dan inisiatif strategik kami yang berkesan.
“Kedua-dua pelabur runcit dan institusi, bertindak balas secara positif terhadap prestasi kami, mencerminkan keyakinan mereka berhubung prospek perniagaan kami yang berterusan,” katanya.
Notion VTec berkata bahawa sebagai syarikat yang berasaskan teknologi, ia telah mendapat manfaat daripada pemulihan yang ketara dalam sektor Pemacu Cakera Keras dan Perkhidmatan Pembuatan Elektronik, mencerminkan pertumbuhan saham teknologi di pasaran saham NASDAQ.
“Peningkatan jualan ini dapat dilihat dalam ulasan laporan kewangan suku tahunan yang belum diaudit untuk suku kedua 2024 dengan menyatakan bahawa prestasi separuh kedua tahun kewangan 2024 mungkin mengatasi separuh pertama tahun kewangan 2024,” katanya.
Selain itu, ia mengatakan bahawa satu artikel yang diterbitkan oleh media tempatan pada 27 Mei 2024, mungkin turut meningkatkan minat pelabur.
— BERNAMA




