KUALA LUMPUR, 12 Jun (Bernama) — Boustead Heavy Industries Corporation Bhd (BHIC) telah memperoleh kontrak perkhidmatan sokongan 2 berasaskan prestasi untuk Kapal Selam Kelas Perdana Menteri Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) bernilai RM1.1 bilion.
Penyedia penyelesaian maritim dan pertahanan itu berkata anak syarikat milik penuhnya, BHIC Submarine Engineering Services Sdn Bhd (BSES) menerima surat penganugerahan daripada Kementerian Pertahanan bertarikh 5 Jun 2024, memberikan kontrak kepada BSES.
“Kontrak rasmi antara kerajaan Malaysia dan BSES akan dimuktamadkan dan dilaksanakan kemudian,” katanya dalam makluman kepada Bursa Malaysia hari ini.
BHIC berkata kontrak itu akan menyumbang secara positif kepada pendapatan kumpulan bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember 2024.
— BERNAMA