KUALA LUMPUR, 4 Jun (Bernama) — Datasonic Technologies Sdn Bhd, anak syarikat milik penuh Datasonic Group Bhd, memperoleh lima lanjutan kontrak berjumlah RM181.65 juta daripada Kementerian Dalam Negeri.
Semua pelanjutan kontrak itu bagi tempoh enam bulan bermula 1 Jun hingga 30 Nov, 2024, kata Datasonic dalam makluman kepada Bursa Malaysia hari ini.
Syarikat itu menerima pelanjutan kontrak bagi membekal kad mentah dan bahan guna MyKad, MyTentera, MyPOCA kepada Jabatan Pendaftaran Negara (JPN).
Datasonic juga menerima kontrak lanjutan berkaitan perkhidmatan penyelengaraan pusat pemperibadian di JPN dan pembekalan cip pasport Malaysia kepada Jabatan Imigresen.
Di samping itu, ia turut menerima sambungan kontrak daripada Jabatan Imigresen untuk membekal dokumen pasport Malaysia dan halaman biodata polikarbonat.
“Kontrak tersebut dijangka menyumbang secara positif terhadap pendapatan masa depan dan aset bersih sesaham Datasonic Group untuk tahun kewangan berakhir 31 Mac 2025,” katanya.
— BERNAMA