KUALA LUMPUR, 24 Mei (Bernama) — Gamuda Bhd melalui unit milik penuhnya, Gamuda Engineering Sdn Bhd telah memperoleh dua kontrak yang digabungkan bernilai RM1.74 bilion untuk membangunkan pusat data hiperskala di Elmina Business Park milik Sime Darby Property Bhd (SDP).
Dalam satu kenyataan hari ini, Gamuda berkata projek itu melibatkan dua fasa utama iaitu fasa pembinaan yang bernilai RM815 juta dan fasa mekanikal bernilai RM928.6 juta.
Bagi fasa pembinaan, ia berkata Gamuda Engineering akan bertanggungjawab untuk membina, menyiapkan, menguji dan mentauliahkan pusat data hiperskala dan kemudahan-kemudahan sampingan yang berkaitan.
“Ia dijadualkan bermula pada 27 Mei, 2024, dengan tarikh siap yang disasarkan pada 27 Feb, 2026,” katanya.
Bagi fasa mekanikal, Gamuda berkata kontrak itu meliputi pemasangan, pengujian dan pentauliahan sistem mekanikal, elektrik dan paip di pusat data di Elmina Business Park 1A.
“Fasa ini dijangka bermula pada 1 Julai, 2025 dan selesai pada 9 Sept, 2026,” katanya.
Bagi memenuhi permintaan yang semakin meningkat untuk pembinaan pusat data, Gamuda merancang untuk meningkatkan kapasiti pengeluaran IBS (sistem bangunan berindustri) digital generasi seterusnya untuk material pusat data.
“Langkah strategik ini meletakkan Gamuda untuk memperoleh manfaat peluang yang besar,” tambahnya.
— BERNAMA