KUALA LUMPUR, 23 Mei (Bernama) — Sime Darby Bhd mencatatkan peningkatan dalam keuntungan bersihnya kepada RM340 juta pada suku ketiga berakhir 31 Mac, 2024 (S3 2024) daripada RM240 juta dalam tempoh yang sama tahun lepas.
Keuntungan yang meningkat sebanyak 41.7 peratus disebabkan oleh keuntungan lebih tinggi kumpulan daripada perniagaan perindustrian dan anak syarikat milik penuhnya, UMW Holdings Bhd.
Hasil turut melonjak sebanyak 63.4 peratus kepada RM18.84 bilion daripada RM11.53 bilion sebelumnya, kata Sime Darby dalam makluman kepada Bursa Malaysia hari ini.
Ia berkata prestasi kukuh daripada operasi kumpulan di Malaysia dan Singapura membantu mengurangkan kesan margin kenderaan yang rendah dalam operasi bahagian motor di China.
Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Datuk Jeffri Salim Davidson berkata kumpulan itu mengakhiri suku berkenaan dengan bahagian perindustrian terus menjadi pemacu utama, memanfaatkan prospek kukuh dalam sektor perlombongan khususnya di Australasia.
“Ini menunjukkan perniagaan perlombongan di Australia masih kukuh dan terus menguntungkan.
“Suku ini juga menandakan sumbangan suku pertama daripada bahagian UMW kepada kumpulan,” katanya.
Melangkah ke hadapan, integrasi UMW ke dalam Sime Darby akan kekal menjadi keutamaan, kata Jeffri Salim.
“Prestasi kami yang kukuh ini adalah bukti kerja keras dan semangat kerjasama pasukan kami di seluruh bahagian industri, motor dan UMW.
“Dengan dedikasi yang berterusan daripada mereka, kami berada pada kedudukan yang baik untuk membuka peluang pertumbuhan baharu dan menyampaikan nilai yang mampan kepada pemegang kepentingan kami,” tambahnya.
Bagi tempoh sembilan bulan berakhir 31 Mac, 2024 bagi tahun kewangan 2024, keuntungan bersih kumpulan meningkat lebih 100 peratus kepada RM3.22 bilion daripada RM836.0 juta setahun lalu, sebahagian besarnya disebabkan oleh keuntungan sebanyak RM2 bilion melalui pelupusan Ramsay Sime Darby Health Care pada Disember 2023.
Hasil pula meningkat sebanyak 38.1 peratus kepada RM48.3 bilion daripada RM35.0 bilion sebelumnya.
— BERNAMA