KUALA LUMPUR, 17 Mei (Bernama) — Bursa Malaysia menyaksikan lonjakan saham-saham pada sesi tengah hari berikutan momentum belian yang kukuh berterusan pada semua sektor.
Pada 12.30 tengah hari, FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) meningkat 6.03 mata kepada 1,617.14 daripada 1,611.11 ketika ditutup semalam.
Indeks petunjuk utama dibuka 1.31 mata lebih tinggi pada 1,612.42 dan seterusnya bergerak antara 1,611.93 dan 1,617.57 sepanjang sesi.
Kaunter untung mengatasi kaunter rugi sebanyak 678 berbanding 373, sementara itu, 491 kaunter tidak berubah, 827 tidak diniagakan dan 10 yang lain digantung.
Jumlah dagangan sebanyak 4.48 bilion unit bernilai RM2.14 bilion.
Naib Presiden penyelidikan ekuiti Rakuten Trade Sdn Bhd Thong Pak Leng melihat dengan positif perkembangan ekonomi bagi suku pertama dan menjangkakan pelabur ekuiti akan mengambil peluang terhadap peningkatan itu dengan memilih saham yang sejajar dengan projek jangka panjang.
Gabenor Bank Negara Malaysia (BNM) Datuk Abdul Rasheed Ghaffour mengumumkan bahawa ekonomi Malaysia berkembang pada kadar yang lebih tinggi sebanyak 4.2 peratus pada suku pertama 2024 daripada 2.9 peratus pada suku keempat 2023, didorong oleh perbelanjaan swasta yang lebih kukuh dan pemulihan positif dalam eksport.
Sebelum ini, Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) menganggar awal pertumbuhan pada 3.9 peratus untuk suku pertama 2024, manakala ramalan median dalam tinjauan Bloomberg pada 4.0 peratus.
Di Asia, Indeks Bursa Saham Shanghai China, Nikkei Jepun dan Indeks Straits Times Singapura semuanya merosot apabila peniaga mengambil keuntungan selepas kenaikan baru-baru ini.
Dalam negara, kaunter YTL menerajui peningkatan bagi saham wajaran tinggi, naik 17 sen kepada RM3.82, manakala YTL Power menokok 21 sen kepada RM5.39.
Petronas Chemicals meningkat 11 sen kepada RM7.01, sementara MY DIY dan IHH masing-masing naik empat sen kepada RM1.85 dan RM6.25.
Dalam kalangan saham aktif, Ingenieur menokok 1.5 sen kepada 9.0 sen, Datasonic naik enam sen kepada 53.5 sen, DNeX menokok 4.5 sen kepada 44.5 sen dan Sin-Kung Logistics meningkat setengah sen kepada 15 sen, manakala Revenue susut satu sen kepada 22 sen.
Di papan indeks, Indeks FBM Emas menokok 70.15 mata kepada 12,305.89, Indeks FBMT 100 naik 64 mata kepada 11,905.61, dan Indeks FBM Emas Shariah naik 70.34 mata kepada 12,521.86.
Indeks FBM Ace meningkat 30.60 mata kepada 5,327.38 dan Indeks FBM 70 melonjak 174.31 mata kepada 17,623.22.
Mengikut sektor, Indeks Perkhidmatan Kewangan menokok 38.23 mata kepada 17,631.87, Indeks Produk Perindustrian dan Perkhidmatan naik 1.43 mata kepada 194.90, Indeks Perladangan melonjak 2.86 mata kepada 7,411.80 dan Indeks Tenaga meningkat 2.64 kepada 989.48.
— BERNAMA

