KUALA LUMPUR, 9 Mei (Bernama) — Solarvest Energy Sdn Bhd (SESB), unit milik penuh Solarvest Holdings Bhd, telah memeterai perjanjian membabitkan aspek kejuruteraan, pemerolehan, pembinaan dan pentauliahan (EPCC) dengan Scientex Bhd bagi sistem solar fotovoltan (PV) bumbung.
Perniagaan SESB bertumpu kepada penyediaan kerja-kerja EPCC untuk sistem solar PV manakala Scientex merupakan syarikat induk kepada beberapa syarikat pembuatan/kilang yang terlibat dalam projek EPCC solar PV.
Dalam kenyataan kepada Bursa Malaysia, Solarvest berkata di bawah perjanjian itu, SESB akan dilantik oleh Scientex sebagai kontraktor EPCC bagi menjalankan projek merangkumi serahan sistem solar PV bumbung di lapan lokasi di Malaysia dengan kapasiti terkumpul kira-kira 21 megawatt puncak (MWp).
Jumlah agregat kontrak bagi projek itu adalah RM40.40 juta.
“SESB memberi jaminan bahawa projek itu akan mencapai nisbah prestasi sepertimana dinyatakan dalam perjanjian. Selain itu, SESB akan membayar pampasan kepada Scientex sekiranya berlaku sebarang kegagalan di pihak SESB untuk membetulkan dan mencapai nisbah prestasi terjamin dari tarikh operasi komersial (COD) sehingga 36 bulan dengan setiap 12 bulan sebagai tempoh semakan prestasi selepas COD,” katanya.
Tempoh liabliti kecacatan projek itu adalah 36 bulan dari tarikh operasi komersial dan projek dijangka siap sepertimana dipersetujui oleh Scientex setelah notis dikeluarkan untuk meneruskan tapak individu oleh Scientex kepada SESB.
“Lembaga Pengarah berpendapat projek itu dijangka menyumbang secara positif kepada aset bersih dan pendapatan sesaham Solarvest dan kumpulan syarikatnya bagi tahun kewangan berakhir pada 31 Mac, 2025.
“Syarikat juga tidak melihat sebarang risiko luar biasa selain operasi biasa berkaitan perjanjian dan/atau projek. Namun, syarikat akan mengambil langkah-langkah perlu untuk mengurangkan risiko sekiranya berlaku,” katanya.
— BERNAMA