KUALA LUMPUR, 3 Mei (Bernama) — Fraser & Neave Holdings Bhd (F&N) merancang memperuntukkan perbelanjaan modal sebanyak RM1.7 bilion bagi Fasa Pertama projek ladang tenusunya di Ladang Permai Damai, Gemas, Negeri Sembilan.
Ketua Pegawai Eksekutifnya Lim Yew Hoe berkata bagi fasa pertama, syarikat itu akan mula membawa masuk 2,000 ekor lembu dan ladang tersebut akan mempunyai kapasiti memproses susu yang dapat menghasilkan 100 juta liter setahun.
“Projek itu yang dijadual memulakan pemerahan susu pertama pada awal 2025, menyasar mendapat pulang modal dalam tempoh tiga tahun,” katanya semasa taklimat keputusan kewangan setengah tahun pertama F&N bagi tahun kewangan 2024, hari ini.
Lim berkata ladang tenusu yang berkeluasan 2,726 hektar itu juga akan menanam jagung sebagai bahan makanan bagi lembu.
Beliau berkata syarikat itu merancang untuk mengeksport ke negara lain selepas tiga tahun beroperasi, dengan menyasarkan Hong Kong, Macau dan Timur Tengah dalam masa terdekat.
“Bagi tempoh dua atau tiga tahun pertama, kami akan memberi tumpuan kepada Malaysia, Singapura dan Kemboja,” katanya.
Projek ladang tenusu Ladang Permai Damai itu merupakan sebahagian daripada rancangan F&N untuk menjadi salah satu pengeluar susu terbesar di Malaysia.
— BERNAMA




