PETALING JAYA, 2 Mei (Bernama) — Pengeluar penutup dan tempat duduk automotif Feytech Holdings Bhd menyasarkan untuk mengumpul RM114.66 juta daripada tawaran awam permulaan (IPO) menjelang penyenaraian di Pasaran Utama Bursa Malaysia pada 21 Mei 2024.
Dalam kenyataan selepas pelancaran prospektusnya hari ini, kumpulan itu berkata hasil yang diperoleh daripada IPO itu akan memenuhi keperluan fasa lanjut pengembangan perniagaannya.
Pengarah Eksekutif dan Ketua Pegawai Eksekutifnya Connie Go berkata sebagai antara langkah pengembangan kumpulan, ia akan membeli tanah di Lembah Klang (10.1 peratus atau RM11.60 juta daripada hasil) dan menubuhkan pejabat korporat baharu (18.4 peratus atau RM21.13 juta) yang mempunyai kilang pembuatan dan gudang, dengan anggaran keluasan binaan kira-kira 85,000 kaki persegi.
“Apabila siap, kami berhasrat untuk menempatkan semula operasi kami di Petaling Jaya di kemudahan baharu ini.
“Selain itu, 16.4 peratus daripada hasil ini akan diperuntukkan untuk membina kilang pembuatan baharu, gudang, bangunan pejabat tambahan dan asrama kakitangan di sebahagian daripada tanah perindustrian kosong di Kulim, Kedah dengan jumlah anggaran keluasan binaan 84,000 kaki persegi,” katanya ketika pelancaran itu.
Beliau berkata sebanyak RM3 juta (2.6 peratus) akan digunakan untuk membeli mesin baharu termasuk 75 mesin jahit, mesin pemotong kulit automatik dan mesin corak manakala RM52.17 juta (45.5 peratus) akan diperuntukkan untuk membeli bahan dan bekalan serta modal kerja am.
Menurut syarikat itu, pelaksanaan IPO berkenaan akan melibatkan terbitan sebanyak 143.32 juta saham biasa baharu, mewakili 17 peratus daripada modal saham diperbesar pada harga IPO 80 sen sesaham, termasuk tawaran untuk penjualan 109.62 juta saham sedia ada, mewakili 13 peratus daripada modal saham diperbesar melalui tawaran saham persendirian untuk pelabur bumiputera.
“Berdasarkan modal saham diperbesar kumpulan sebanyak 843.20 juta saham dan harga IPO yang tersebut sebelumnya, permodalan pasaran (selepas penyenaraian) adalah kira-kira RM674.56 juta,” katanya.
Menurut prospektus itu, daripada 143.32 juta saham baharu, sebanyak 42.16 juta akan disediakan untuk rakyat Malaysia melalui pengundian.
Sebanyak 25.30 juta saham lagi diperuntukkan kepada pengarah dan pekerja yang layak serta pihak yang menyumbang kepada kejayaan kumpulan (peruntukan borang merah jambu) manakala lebihan 75.87 juta akan disediakan melalui tawaran saham persendirian kepada pelabur terpilih.
TA Securities Holdings Bhd akan berperanan sebagai penasihat utama, menguruskan penaja jamin, penaja jamin bersama dan ejen penempatan bersama bagi pelaksanaan IPO manakala AmInvestment Bank Bhd sebagai penaja jamin bersama dan ejen penempatan bersama, katanya.
Permohonan IPO berkenaan tersedia bermula hari ini dan akan ditutup pada 5 petang, 8 Mei.
— BERNAMA
Baca juga: Nak Buka Akaun CDS Dengan CGSI (CGS-CIMB)? Jom Ikut Tutorial Mudah Ini
Dah ada akaun dengan CGSI, boleh mohon IPO dengan mudah di eipo.cgsi.com.my
 
			 
		    



![Saham Kajian: NexG Raih Lanjutan Kontrak Dari KDN [8 Julai 2025]](https://thekapital.my/wp-content/uploads/2025/07/250708-TheKapital-Featured-NexG-360x180.jpg)
