KUALA LUMPUR, 2 Mei (Bernama) — Sunway dijangka berpotensi tampil sebagai kemasukan baharu dalam senarai konstituen FTSE Bursa Malaysia (FBM) KLCI selepas meningkat kepada kedudukan ke-24 dalam permodalan pasaran, berkemungkinan menggantikan kedudukan AMMB Holdings, kata MIDF Research.
Firma penyelidikan itu dalam laporan semakan semula separuh tahun FBM KLCI berkata Sunway telah mencatat kenaikan mendadak dalam harga sahamnya sejak 20 Nov 2023, iaitu tarikh akhir semakan semula separuh tahun FBM KLCI yang terdahulu.
Saham Sunway kemudiannya diniagakan pada RM1.99, meletakkannya pada kedudukan ke-38 dari segi permodalan pasaran.
Selepas itu, harga sahamnya telah menokok 76.9 peratus kepada RM3.52 pada 30 April 2024 sekali gus melonjakkannya pada tangga ke-24.
Sehingga 30 April, AMMB Holdings menguasai permodalan pasaran sebanyak RM13.89 bilion, meletakkannya pada kedudukan ke-33 manakala Mr DIY Group (M) di tempat ke-31 dengan RM14.74 bilion.
YTL Power International dan YTL Corp masing-masing berada pada kedudukan ke-23 dan 24 pada 20 Nov 2023, mendorong kemasukan kedua-duanya pada semakan semula Disember 2023.
Kedua-dua kaunter ini menunjukkan prestasi baik setakat ini, mengukuhkan lagi kedudukan dalam FBM KLCI, sekali gus meletakkannya masing-masing pada tangga ke-10 dan 13, katanya.
MIDF Research berkata senarai simpanan FBM KLCI, yang terdiri daripada lima bukan konstituen teratas, dijangka mencatat sedikit perubahan, dengan keluarnya Inari Amertron Bhd dan kemasukan AMMB Holdings.
Ia turut menjangkakan kesemua 40 saham teratas mencapai keperluan apungan bebas melebihi 15 peratus.
“Dengan jangkaan AMMB Holdings keluar daripada FBM KLCI, kami meramalkan sektor utama perkhidmatan kewangan mungkin menyaksikan penyusutan kewajaran daripada 41.30 peratus pada masa ini kepada 39.61 peratus selepas semakan.
“Perubahan paling ketara akan dicatatkan dalam sektor produk dan perkhidmatan perindustrian, dengan peningkatan kewajaran daripada 6.57 peratus kepada 7.87 peratus dengan kemasukan Sunway,” kata firma penyelidikan itu.
Melangkah ke hadapan, firma itu mengekalkan sasaran FBM KLCI pada 2024 kepada 1,665 mata, atau harga kepada pendapatan (PER) sebanyak 14.6 kali.
Firma itu juga yakin Rizab Persekutuan Amerika Syarikat masih menangguhkan langkah penurunan kadar faedah pertamanya seperti yang dijangkakan oleh pasaran.
“Bagaimanapun, kami optimis dengan prospek ekonomi Malaysia, dan kami mengekalkan jangkaan kami terhadap potensi pertumbuhan pendapatan korporat Malaysia yang akan dipacu oleh pemulihan dalam perdagangan luar, peningkatan dalam sektor pembinaan dan prospek sektor hartanah yang bertambah baik,” katanya.
Semakan semula separuh tahun FBM KLCI dijadual diadakan pada 24 Jun 2024 berdasarkan data daripada penutupan pasaran pada 27 Mei 2024.
— BERNAMA