KUALA LUMPUR, 29 April (Bernama) — Anak syarikat milik penuh Malakoff Corporation Bhd, Malakoff Technical Solutions Sdn Bhd telah menjalin kerjasama dengan China Northeast Electric Power Engineering & Services Co Ltd (NEPCS) untuk membekalkan tenaga kerja teknikal untuk operasi dan penyelenggaraan (O&M) bagi projek loji tenaga kitaran gabungan (CCPP) untuk NEPCS di Bangladesh.
Pengeluar tenaga bebas (IPP) itu berkata ia akan memanfaatkan kepakarannya selama beberapa dekad dalam CCPP O&M, menawarkan perkhidmatannya kepada tiga loji tenaga dengan jumlah kapasiti kira-kira 1,500 megawatt.
“Ini adalah penglibatan pertama Malakoff untuk mendapatkan projek O&M kelas H, membuka jalan untuk mengembangkan lagi kepakarannya dalam teknologi kelas H, justeru menempatkan kedudukannya untuk permintaan yang semakin meningkat dalam CCPP di Malaysia,” kata syarikat itu dalam satu kenyataan.
Teknologi kelas H adalah antara teknologi terkini dalam turbin gas telah menyaksikan evolusi dan kemajuan kejuruteraan bertujuan untuk mengurangkan pelepasan karbon dan menyokong keperluan moden penjanaan tenaga yang fleksibel.
Pengarah Urusan dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Malakoff, Anwar Syahrin Abdul Ajib berkata perkongsian itu menjadi bukti dedikasi kumpulan dalam meluaskan kepakaran teknikalnya di peringkat antarabangsa dan terus berusaha bagi mencatat kecemerlangan operasi.
“Kami mempunyai pasukan berkemahiran tinggi dan salah satu fokus utama kami dalam O&M adalah untuk bekerjasama dengan rakan kongsi secara strategik untuk meningkatkan daya saing dan mengoptimumkan prestasi perniagaan syarikat.
“Saya yakin dengan menggerakkan pakar kami untuk projek CCPP ini di Bangladesh, kami bukan sahaja akan meningkatkan prestasi loji berkenaan tetapi juga memberikan pasukan kami pendedahan berharga kepada teknologi baharu,” katanya.
Menurut Malakoff, perkongsian itu seiring dengan tonggak perniagaannya yang baru ditubuhkan iaitu Malakoff Energy yang memastikan bekalan tenaga boleh dipercayai dan kos efektif melalui perkhidmatan pengurusan tenaga berkualiti, pada masa sama mempromosikan penjimatan dan keberkesanan tenaga.
Malakoff Energy adalah salah satu daripada tiga tonggak perniagaan strategik, selain daripada Penyelesaian Hijau Malakoff dan Penyelesaian Alam Sekitar Malakoff yang membentuk asas operasi Malakoff, katanya.
— BERNAMA




