KUALA LUMPUR, 25 April (Bernama) — Solarvest Holdings Bhd menyerahkan projek berkapasiti tenaga solar tambahan 8.9 megawatt peak (MWp) kepada Nibong Tebal Paper Mill Sdn Bhd (NTPM).
Projek bernilai RM27 juta yang mula beroperasi pada 31 Dis, 2023, akan menyalurkan tenaga bagi kemudahan NTPM iaitu masing-masing di Nibong Tebal, Pulau Pinang dan Parit Buntar, Perak.
“Menerusi projek yang kini diaktifkan sepenuhnya, NTPM dapat memantau secara berkesan dan mengurangkan pelepasan karbonnya, sekali gus menjadi langkah yang membantu syarikat dalam mematuhi ketetapan Bursa Malaysia untuk syarikat tersenarai melaporkan mengenai pelepasan gas rumah hijau (GHG),” kata dalam kenyataan hari ini.
Pengarah Eksekutif merangkap Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Davis Chong Chun Shiong berkata aktiviti pengeluaran kertas dan pembungkusan merupakan proses yang memerlukan banyak tenaga.
“Pengeluaran tenaga menyumbang lebih daripada 70 peratus pelepasan GHG. Ini membuktikan kepentingan bagi meninjau pilihan hijau untuk mencapai matlamat pelepasan karbon sifar bersih Malaysia menjelang 2050.
“Pemasangan panel solar dan melaksanakan langkah-langkah berkaitan adalah cara paling praktikal dan berkesan pada masa kini untuk menyahkarbon serta menilai tindakan kita.
“Solarvest juga telah menjadi rakan tenaga hijau jangka panjang NTPM bagi kerjasama yang sedang dijalankan selain peluang dalam projek yang dirancang,” katanya.
— BERNAMA
TAG: Solarvest, Nibong Tebal Paper Mill Sdn Bhd, GHG, solar




