KUALA LUMPUR, 23 April (Bernama) — Topmix Bhd, yang muncul kali pertama di Pasaran ACE Bursa Malaysia hari ini, ditutup pada 42 sen, meningkat 11 sen atau 35.48 peratus dengan 12.49 juta saham didagangkan.
Pada 5 petang, syarikat itu juga muncul sebagai saham paling aktif dan berada di kalangan 15 saham teratas dalam senarai paling untung.
Syarikat itu membuat penampilan sulungnya di Pasaran ACE Bursa Malaysia hari ini pada 41 sen, mencatatkan premium 10 sen, atau 32.26 peratus berbanding harga tawaran awam permulaan (IPO) sebanyak 31 sen.
Kaunter produk hiasan permukaan menyaksikan 12.25 juta saham bertukar tangan pada loceng pembukaan.
Pengarah Urusan Jack Teo Quek Siang melalui satu kenyataan hari ini berkata kejayaan IPO itu menggariskan komitmen mereka untuk memacu Topmix ke hadapan bagi mengukuhkan kedudukan kumpulan dalam pasaran produk hiasan permukaan.
Modal baharu yang diperoleh menerusi IPO akan membolehkan syarikat melaksanakan pelan pengembangannya termasuk meluaskan rangkaian produk melalui penerokaan ke dalam pemasangan produk papan serpai muka melamin (MFC) yang akan menangani segmen pelanggan baharu seperti pengeluar perabot.
“Selain itu, kami akan menubuhkan pejabat jualan di Pulau Pinang untuk mengambil peluang di atas peningkatan permintaan selain mengembangkan kesedaran jenama serta produk dan bertindak balas dengan lebih pantas kepada pesanan produk di seluruh rantau.
“Menyedari potensi pertumbuhan di wilayah tengah, kami komited untuk memenuhi permintaan membabitkan penggunaan produk kami dalam hartanah kediaman dan komersial dengan mengembangkan kapasiti gudang kami di wilayah tengah bagi memudahkan rangkaian inventori yang lebih luas untuk memenuhi tempahan dengan lebih pantas,” katanya
Topmix berjaya mengumpulkan sebanyak RM25.6 juta daripada IPO, sejumlah RM11.3 juta diperuntukkan untuk modal kerja am dan RM6 juta lagi ke arah pengembangan perniagaan, pemasaran serta jualan selain penubuhan pejabat jualan baharu dan menambah kapasiti gudang.
Kumpulan itu juga merancang untuk memperuntukkan RM5 .3 juta bagi pengembangan ke dalam pemasangan produk papan serpai muka melamin (MFC) dan baki RM3 juta untuk membiayai perbelanjaan penyenaraian.
Dalam sidang akhbar selepas penyenaraian, Teo berkata Topmix akan menumpukan pada pengukuhan di wilayah utara Malaysia disebabkan oleh industri semikonduktor yang sedang berkembang pesat.
“Tingkah laku pelanggan di wilayah utara telah berubah. Pemilik rumah lebih suka reka bentuk dalaman yang baik untuk pengubahsuaian dan projek komersial mereka. Jadi kami mahu berkembang lebih mantap di wilayah utara bagi mendapatkan bahagian pasaran yang lebih besar,” katanya lagi. “Untuk projek komersial, banyak pusat beli-belah serta hotel sedang diubah suai. Jadi dalam industri pengubahsuaian, kami memberi tumpuan kepada sektor perumahan dan komersial.”
— BERNAMA




