KUALA LUMPUR, 17 April (Bernama) — Keyfield International Bhd yang akan disenaraikan di Bursa Malaysia minggu depan mencatat keuntungan bersih lebih dua kali ganda kepada RM105.47 juta bagi tahun kewangan berakhir 31 Dis 2023 berbanding RM48.88 juta pada tahun sebelumnya.
Menurut syarikat yang mencarter kapal penginapan dan menyediakan perkhidmatan dalam kapal itu, prestasi berkenaan tercapai berikutan perolehan yang lebih tinggi sebanyak RM430.45 juta berbanding RM236.20 juta sebelum ini.
Keyfield mengaitkan prestasi teguh itu dengan bilangan kapalnya sendiri yang lebih tinggi dan peningkatan kadar penggunaan sebanyak 78.8 peratus untuk kapal sendiri dalam tahun yang dikaji (tahun kewangan 2022: 65.7 peratus).
Peningkatan prestasi itu turut disumbangkan oleh hari sewaan yang lebih banyak untuk kapal pihak ketiga dan purata kadar sewaan harian yang lebih memberangsangkan yang dicapai pada tahun kewangan 2023, katanya dalam makluman kepada Bursa Malaysia hari ini.
Bagi keputusan suku keempat tahun kewangan 2023, syarikat memaklumkan mencatat keuntungan bersih RM22.12 juta, menokok 72.4 peratus daripada RM12.83 juta sebelum ini, manakala perolehan melonjak kepada RM119.53 juta berbanding RM67.60 juta sebelumnya.
Keyfield berkata perolehan daripada kapal sendiri menokok 78.3 peratus atau RM35.13 juta kepada RM80.02 juta pada suku keempat tahun kewangan 2023 manakala perolehan daripada kapal pihak ketiga meningkat 74 peratus atau RM16.80 juta kepada RM39.51 juta.
“Jumlah hari yang disewa untuk kapal sendiri pada suku keempat tahun kewangan 2023 adalah 665 hari, menyumbang kadar penggunaan 72.3 peratus berbanding 447 hari pada suku keempat tahun kewangan 2022, menyumbang kadar penggunaan 69.4 peratus,” katanya.
Bagi tahun kewangan 2023, Keyfield merekodkan sejumlah 2,624 hari sewaan untuk kapalnya sendiri, mewakili kadar penggunaan 78.8 peratus berbanding dengan 1,488 hari carter pada tahun kewangan 2022, mewakili kadar penggunaan 65.7 peratus.
Sementara itu, bilangan hari yang disewa untuk kapal pihak ketiga meningkat kepada 1,772 pada tahun kewangan 2023 daripada 1,141 pada tahun sebelumnya, disokong oleh permintaan teguh pelanggan terhadap kapal.
Mengenai prospek, Keyfield berkata ia optimis namun berhati-hati berpandukan nilai perolehannya yang terdiri daripada carter berkontrak berjumlah RM662.6 juta pada 29 Feb 2024, dengan RM356.9 juta untuk tahun kewangan 2024.
“Kami tetap setia dengan komitmen kami untuk menguruskan kumpulan kapal kami dan beroperasi dengan kaedah berhemat dan berhati-hati, kekal berwaspada terhadap cabaran persekitaran perniagaan yang kami beroperasi dan di luarnya, yang sentiasa berubah,” katanya.
Kumpulan Keyfield, yang berkhidmat terutamanya untuk industri minyak dan gas luar pesisir di Malaysia, dijadual disenaraikan di Pasaran Utama pada 22 April 2024.
Selepas selesai tawaran awam permulaannya, kumpulan itu akan mempunyai permodalan pasaran sebanyak RM720 juta.
— BERNAMA